Robot Digunakan Di Jepun Untuk Memperkenalkan Diri Bagi Mencari Kekasih

Robot Digunakan Di Jepun Untuk Memperkenalkan Diri Bagi Mencari Kekasih

Diterbitkan pada Feb 15, 2019 oleh .

Mencari pasangan hidup sekarang adalah semakin sukar kerana harapan yang terlalu tinggi diletakkan. Tahun lalu di Jepun, kadar kelahiran adalah yang terendah sejak 1899. Sebanyak 921,000 bayi dilahirkan tetapi terdapat 1.37 juta kematian direkodkan. Antara sebab utama ialah golongan muda yang menghadapi masalah berbual dengan insan berlainan jantina. Untuk menyelesaikan masalah ini, robot telah digunakan.

Di Minato, sebuah bandar di wilayah Tokyo robot telah digunakan untuk memperkenalkan 28 peserta di dalam acara mencari jodoh. Peserta perlu menjawab 45 soalan yang diberikan terlebih dahulu mengenai latar belakang mereka. Selepas itu robot mengumpul data dan melakukan pengenalan diri selama tiga minit bagi pihak manusia kepada peserta lain. Peserta turut boleh bertanyakan soalan mengenai insan di depan mereka dan robot akan memberikan jawapan berdasarkan data yang tersimpan.

Robot sebagai ganti diri menyelesaikan masalah peserta yang kelu lidah apabila berhadapan individu berlainan jantina. Ini mungkin kerana sifat pemalu atau kurang keyakinan diri. Pihak Contents innovation Program (CiP) Association yang menganjurkan acara ini berkata empat pasangan berjaya ditemukan menggunakan robot.

Kami yakin pasti ada pembaca Amanz yang juga segan untuk berbual dengan individu berlainan jantina sehingga tidak mempunyai pasangan. Adakah anda terbuka kepada penggunaan robot bagi memudahkan proses mencari kekasih?


TIPS & ULASAN