Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Tab S adalah siri tablet Samsung yang agak berkuasa. Ia adalah tablet Android dan kali terakhir siri tablet ini dilancarkan adalah pada tahun lepas dengan Galaxy Tab S4. Terkini, Samsung dilihat telah hadir dengan pengganti buat tablet ini.

Samsung Galaxy Tab S5e adalah tablet baru Samsung dalam siri ini. Ia hadir dengan skrin 10.5-inci panel Super AMOLED beresolusi 2560 x 1600 dan bernisbah 16:10. Rekaan bingkai pula adalah lebih nipis dan seakan iPad Pro (2018) tetapi sedikit tebal. Tablet ini dijana Snapdragon 670 dan dipadankan dengan pilihan memori 4/6 GB dan storan 64/128GB yang turut menyokong kad mikroSD sehingga 512GB.

Galaxy Tab S5e menggunakan bahan binaan logam dan hanya mempunyai ketebalan 5.5mm berbanding iPad Pro (2018) 5.9mm. Tablet ini dikatakan adalah paling ringan dengan berat hanya 400gram. Tablet ini juga merupakan tablet Samsung pertama yang menjalankan Android Pie dan mempunyai Bixby 2.0 terbina.

Seperti Galaxy Tab S4, Tab S5e turut mempunyai sokongan pembesar suara AKG dan sokongan antaramuka desktop DEX. Ia tidak menyokong S Pen, tetapi mempunyai sokongan papan kekunci melalui sambungan magnetik. Kamera pula menggunakan lensa 13MP di belakang dan 8MP di hadapan. Rakaman video tablet ini menyokong sehingga 4K 30fps.

Galaxy Tab S5e akan hadir dengan warna hitam, kelabu dan emas. Harga pula adalah bermula daripada $399, iaitu sekitar RM1630 sahaja untuk versi WiFi dan versi sokongan kad sim akan hadir kemudiannya. Ia akan mula dijual pada suku ketiga tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd