Xiaomi pada minggu ini telah mengumumkan perancangan mereka untuk melancarkan Mi 9 pada minggu hadapan, sehari sebelum Galaxy S10. Selari dengannya juga, Xiaomi telah berkongsi beberapa gambar rekaan belakang peranti tersebut.
Kini, selain daripadanya, Xiaomi turut berkongsi gambar baru yang mengesahkan Xiaomi Mi 9 akan dijana dengan pengimbas cap hari pada bahagian skrin. Selain itu, ia juga menawarkan rekaan bingkai yang kecil pada bahagian bawah, dan tiada sebarang bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah peranti.
Xiaomi juga hari ini turut berkongsi beberapa gambar, mengesahkan yang mana Xiaomi Mi 9 ini akan dijana dengan cip Snapdragon 855 dan menawarkan skor prestasi yang sangat berkuasa. Ini juga mungkin menjadikan Xiaomi sebagai antara pengeluar terawal dengan penawaran peranti berasaskan cip tersebut.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan 20 Februari 2019 ini untuk melihat apakah kejutan yang bakal dibawakan oleh pihak Xiaomi.