Telefon Dengan Sokongan NFC Di Bawah RM1500

Telefon Dengan Sokongan NFC Di Bawah RM1500

Diterbitkan pada Feb 17, 2019 oleh .

Near Field Communication atau dikenali sebagai NFC merupakan teknologi penyambungan jarak dekat untuk membolehkan dua peranti berkomunikasi dalam lingkungan 4cm. Sehingga saat ini, penggunaan NFC ini boleh dibahagikan kepada tiga mod penyambungan iaitu peer-to-peer mode, read/write mode, dan card emulation mode.

Dengan kehadiran NFC ini, ia dapat memudahkan pengguna melakukan pemindahan data antara peranti (peer-to-peer mode), kebolehan untuk menyambungkan ke peranti baru (read/write mode), atau membuat pembayaran (card emulation mode).

Antara contoh kegunaan NFC ini, ia boleh dijadikan pemangkin kepada penyambungan peranti baru, sebelum peranti tersebut disambungkan melalui Bluetooth atau WiFi. Bayangkan anda mempunyai sebuah kamera baru, anda boleh menggunakan fungsi NFC ini untuk menyingkatkan masa ketika proses penyambungan awal peranti. Dengan menyentuh telefon ke label NFC pada badan kamera, NFC ini akan memangkin proses penyambungan antara kamera dan telefon, melalui sambungan Bluetooth atau WiFi secara automatik.

Tetapi penggunaan NFC yang cukup menarik untuk pengguna, anda boleh menggunakan telefon anda sebagai pengganti kepada kad kredit atau debit fizikal anda. Untuk memulakannya, anda boleh memuat-turun aplikasi seperti MaybankPay atau CIMB Pay dan log masuk akaun bank anda. Ketika ingin membuat pembayaran, pilih kad yang anda ingin gunakan melalui aplikasi tersebut, dan sentuhkan telefon anda ke terminal pembayaran.

Kami telah memilih beberapa telefon dengan fungsi NFC di bawah RM1500 ini, yang mana dinilai berdasarkan sejumlah kriteria permilihan di bawah.

Kriteria Pemilihan

  • Telefon 2017 dan ke atas.
  • Mempunyai sokongan NFC secara terbina.
  • Ditawarkan secara rasmi di Malaysia.

Selain itu, kesemua telefon yang dipilih di dalam artikel ini adalah berdasarkan set original pada harga terendah yang anda boleh dapat daripada pengedar-pengedar yang sah. Jadi bagi anda yang sedang mencari peranti baru dan fungsi NFC ini menjadi keutamaan anda, ini dia senarai telefon dengan sokongan NFC yang anda boleh dapat di bawah harga RM1500.


Nokia 6.1

Kita mulakan dahulu dengan Nokia 6.1. Ia merupakan peranti pembaharuan daripada Nokia 6, dengan kehadiran cip Snapdragon 630 dan memori 4GB RAM. Ia juga menjadi peranti termurah dengan kamera ZEISS, yang selalunya hadir pada peranti yang lebih berkuasa seperti Nokia 7 Plus dan Nokia 8.1. Ia turut dilengkapi dengan pengecasan pantas 18W, slot kad mikroSD, selain dijana dengan program Android One.

Cuma dari segi kekurangannya, cip yang didatangkan tidak begitu berkuasa untuk harganya, yang mana rata-ratannya sudah pun menggunakan cip Snapdragon 636 dan ke atas. Ia juga membawakan rekaan bingkai tebal bahagian hadapan, selain membawakan kapasiti bateri yang kecil untuk penggunaan harian yang lama.

Spesifikasi:

  • 5.5” IPS LCD FHD 16:9
  • Qualcomm Snapdragon 630
  • 8 x Cortex-A53 2.2 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 16MP f/2.0 / 8MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3000 mAh, USB-C, pengecasan 18W

Harga: RM1189 (4GB RAM + 64GB)


ASUS ZenFone 5

Telefon kedua yang anda boleh dapat ialah ASUS ZenFone 5. Ia membawakan rekaan kaca yang menawan, skrin 6.2-inci, dan dijana dengan cip Snapdragon 636. Ia juga hadir dengan fungsi penggambaran ultra wide-angle, sokongan pembesar suara stereo, dan menawarkan kapasiti bateri 3300 mAh.

Cuma kekurangannya, keupayaan kamera ultra wide-angle pada peranti ini dilihat kurang memuaskan, dengan memberi white balance yang kurang neutral bersama kesan noise yang ketara.

Spesifikasi:

  • 6.2” IPS LCD FHD+ 18.7:9
  • Qualcomm Snapdragon 636
  • 4 x Kryo 260 1.8 GHz, 4 x Kryo 260 1.6 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 12MP f/1.8 OIS + 8MP / 8MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3300 mAh, USB-C, pengecasan 10W

Harga: RM1299 (4GB RAM + 64GB)


Samsung Galaxy A7 (2018)

Peranti ketiga yang anda boleh dapat ialah Samsung Galaxy A7 (2018). Apa yang menarik, ia menawarkan keupayaan tiga kamera utama, yang merupakan penggambaran wide standard, telefoto, dan ultra wide-angle. Ia juga membawakan paparan Super AMOLED, cip Exynos 7885, dan hadir dengan storan 128GB.

Dari segi kekurangannya, ia hanya dibekalkan dengan pengecas 7.75W sekaligus memerlukan masa yang sedikit lama untuk mengecas peranti. Walaupun fungsi penggambarannya dilihat baik, rakaman videonya masih terkesan dengan keperincian imej yang kurang jitu.

Spesifikasi:

  • 6.0” Super AMOLED FHD+ 18.5:9
  • Exynos 7885
  • 2 x Cortex-A73 2.2 GHz, 6 x Cortex-A53 1.6 GHz
  • 4GB RAM / 128GB + mikroSD
  • 24MP f/1.7 + 8MP f/2.4 + 5MP f/2.2 / 24MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3300 mAh, USB-C, pengecasan 7.75W

Harga: RM1099 (4GB RAM + 128GB)


Samsung Galaxy A8

Peranti seterusnya yang anda boleh dapat ialah Samsung Galaxy A8. Apa yang menarik mengenai peranti ini, ia membawakan rekaan yang kompak, sokongan dwi-kamera hadapan, dan mempunyai ketahanan air IP68. Ia membawakan paparan Super AMOLED, cip Exynos 7885, dan menawarkan memori 4GB RAM.

Dari segi kekurangannya, ia tidak menyajikan fungsi Live Focus pada kamera utama untuk penghasilan kesan kabur di bahagian belakang subjek. Kapasiti baterinya juga dilihat rendah dan kurang disyorkan untuk kegunaan intensif.

Spesifikasi:

  • 5.6” Super AMOLED FHD+ 18.5:9
  • Exynos 7885
  • 2 x Cortex-A73 2.2 GHz, 6 x Cortex-A53 1.6 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 16MP f/1.7 / 16MP f/1.9 + 8MP f/1.9
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3000 mAh, USB-C, pengecasan 18W

Harga: RM1299 (4GB RAM + 64GB)


Samsung Galaxy Note FE

Peranti kelima yang anda boleh dapat ialah Samsung Galaxy Note FE. Ia merupakan Samsung Galaxy Note 7 yang dibarukan berikutan isu bateri yang melanda selepas sebulan ia dilancarkan. Peranti ini membawakan sokongan stylus S-Pen, sokongan ketahanan air IP68, dan mempunyai keupayaan kamera yang baik untuk harian.

Seperti Samsung Galaxy A8, peranti ini juga tidak menyajikan fungsi Live Focus pada kamera utama sekaligus tidak membolehkan anda mendapatkan kesan kabur di bahagian belakang subjek. Kapasiti baterinya juga dilihat rendah yang mana kurang disyorkan untuk pengguna yang mahukan ketahanan bateri yang lama.

Disebabkan ia merupakan Samsung Galaxy Note 7 yang dibarukan, rekaannya juga dilihat sudah mula memakan usia, melalui kehadiran bingkai yang tebal pada bahagian hadapan.

Spesifikasi:

  • 5.7” Super AMOLED QHD 16:9
  • Exynos 8890
  • 4 x Mongoose 2.3 GHz, 4 x Cortex-A53 1.6 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 12MP f/1.7 OIS / 5MP f/1.7
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3200 mAh, USB-C, Adaptive Fast Charging

Harga: RM1599 (4GB RAM + 64GB)


Honor 10

Peranti keenam yang anda boleh dapat ialah Honor 10. Apa yang menarik mengenai peranti ini, ia membawakan rekaan kaca yang menarik, dijana dengan cip Kirin 970, dan mempunyai storan 128GB. Ia juga didatangkan dengan sokongan dwi-kamera AI, kapasiti bateri 3400 mAh, dan menyokong pengecasan pantas 22.5W.

Cuma untuk kekurangannya, ia tidak menampilkan sebarang slot kad mikroSD sekaligus memerlukan anda bergantung kepada storan 128GB yang didatangkan.

Spesifikasi:

  • 5.84” IPS LCD FHD+ 19:9
  • HiSilicon Kirin 970
  • 4 x Cortex-A73 2.4 GHz, 4 x Cortex-A53 1.8 GHz
  • 4GB RAM / 128GB
  • 16MP f/1.8 + 24MP f/1.8 / 24MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3400 mAh, USB-C, pengecasan 22.5W

Harga: RM1399 (4GB RAM + 128GB)


Honor Play

Anda juga boleh mendapatkan Honor Play yang memfokuskan kepada kegunaan permainan. Ia membawakan cip Kirin 970, memori 4GB RAM, dan sokongan dwi-kamera AI. Ia juga hadir dengan GPU Turbo, sokongan getaran 4D Gaming, dan mempunyai kapasiti bateri 3750 mAh.

Peranti ini dilihat hebat dari segi spesifikasi, cuma rekaannya sahaja sedikit kurang menarik apabila dibandingkan dengan pesaingnya. Ia hanya menampilkan rekaan berasaskan logam di bahagian belakang berbanding binaan kaca yang sudah mula menghiasi peranti sekelasnya.

Spesifikasi:

  • 6.3” IPS LCD FHD+ 19.5:9
  • HiSilicon Kirin 970
  • 4 x Cortex-A73 2.4 GHz, 4 x Cortex-A53 1.8 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 16MP f/2.0 + 2MP f/2.4 / 16MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3750 mAh, USB-C, pengecasan 18W

Harga: RM1099 (4GB RAM + 64GB)


Xiaomi Mi MIX 2s

Telefon terakhir yang anda boleh dapat ialah Xiaomi Mi MIX 2S. Apa yang menarik, ia membawakan skrin tanpa takuk, cip Snapdragon 845, dan mempunyai memori 6GB RAM. Ia juga membawakan sokongan dwi-kamera, fungsi pengecasan tanpa wayar, Quick Charge 3.0, dan menawarkan kapasiti bateri 3400 mAh.

Cuma dari segi kekurangannya, ia tidak menampilkan slot kad mikroSD, jadi anda perlu menggunakan storan 64GB secara cermat. Ia juga tidak didatangkan dengan sambungan bicu audio, sekaligus memerlukan anda bergantung kepada penyesuai USB-C ke 3.5mm yang disediakan secara percuma.

Spesifikasi:

  • 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
  • Qualcomm Snapdragon 845
  • 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz, 4 x Kryo 385 Silver 1.8 GHz
  • 6GB RAM / 64GB
  • 12MP f/1.8 OIS + 12MP / 5MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3400 mAh, USB-C, Quick Charge 3.0

Harga: RM1399 (6GB RAM + 64GB)


Jadi itulah senarai telefon dengan fungsi NFC yang anda boleh dapati di bawah harga RM1500. Kesemua peranti yang disenaraikan di atas boleh didapati melalui kedai fizikal rasmi atau menerusi laman-laman jualan utama Malaysia seperti Lelong, Lazada, Shopee, 11street.


TIPS & ULASAN