Carian
Android Q Mungkin Akan Buang Butang ‘Back’ – Kawalan Gesture Sepenuhnya
February 19, 2019 Fahim Zahar

Sejak Android Pie diperkenalkan, banyak perubahan telah berlaku pada sistem operasi ini. Antara perubahannya adalah integrasi pembelajaran mesin mendalam, rekaan ikon baru dan juga kawalan navigasi baharu.

Kawalan navigasi Android Pie adalah kawalan gesture. Di mana, ia tidak lagi mempunyai 3 butang navigasi dan hanya mempunyai 2 butang – satu butang ‘back’ dan satu butang bujur untuk gesture. Kelak, Android Q mungkin akan membuang butang ‘back’ sepenuhnya untuk kawalan ‘gesture’ yang lebih baik.

Pihak XDA telah berjaya menjalankan Android Q binaan awal. Dalam binaan ini, tiada lagi butang ‘back’. Untuk kembali ke laman sebelum atau aplikasi sebelum, tarik butang bujur ke kiri. Untuk akses senarai aplikasi yang dibuka atau aplikasi sebelum tarik butang bujur ke kanan. Ini hanya dalam binaan awal, tidak pasti jika ia akan hadir di dalam Android Q rasmi kelak.

Animasi ke senarai aplikasi terbuka turut dilihat lebih lancar. Dengan ketiadaan butang ‘back’ pasti pengguna Android asli akan berasa janggal untuk kawalan gesture penuh ini. Melalui perubahan ini, Google dilihat ingin menawarkan kawalan gesture penuh seakan iOS yang diperkenalkan sejak 2 tahun lalu.

Komen