Kajian Mendapati YouTube Antara Penyebab Utama Teori Bumi Mendatar Semakin Popular

Kajian Mendapati YouTube Antara Penyebab Utama Teori Bumi Mendatar Semakin Popular

Diterbitkan pada Feb 19, 2019 oleh .

Minggu ini isu paling tular di media sosial ialah seorang selebriti yang percaya bumi adalah leper, bulan serta matahari bersaiz sama dan graviti tidak wujud. Pembobrokan intelek masyarakat secara massal ini tidak hanya terhad di Malaysia tetapi berlaku secara global. Sebuah kajian yang dilakukan oleh Asheley Landrum dari Texas Tech University mendapat, YouTube ialah antara penyebab mengapa teori bumi leper kini semakin popular.

Beliau menemubual 30 orang yang hadir ke konvensyen dunia leper yang berlangsung di Denver Colorado tahun lalu. Seramai 29 responden mengakui diperkenalkan kepada teori dunia leper ini menerusi video yang ditonton di YouTube. Menarik sekali ramai mencari video ini untuk menyangkal teori tetapi akhirnya mempercayai bahawa dunia adalah benar-benar leper. Antara sebab teori ini dipercayai adalah kerana ia disokong oleh kandungan kitab Injil dan pseudosains.

Tambah merisaukan kerana algoritma YouTube, mereka kemudian disarankan untuk menonton video teori konspirasi lain seperti makhluk asing di dalam masyarakat, manusia tidak mendarat di bulan dan anti vaksin. YouTube tidak memadam video-video konspirasi kerana ia termaktub dalam pindaan pertama perlembagaan A.S. Mereka hanya mampu memberikan amaran kandungan yang ditonton tidak tepat dan memberikan pautan ke maklumat sains di bawah video.

Asheley Landrum menyarankan supaya saintis menghasilkan video di YouTube untuk mengimbangi kandungan dengan fakta yang tidak selari dengan fakta sains. Sungguhpun begitu kajian lain sebelum ini mendapati ini mungkin pendekatan yang salah memandangkan golongan peminat teori konspirasi tidak mempercayai sebarang teori sains.

Sumber AAAS menerusi The Guardian


TIPS & ULASAN