NVIDIA Meniriskan Kehadiran Sokongan Raytracing Untuk Enjin Permainan Unity

NVIDIA Meniriskan Kehadiran Sokongan Raytracing Untuk Enjin Permainan Unity

Diterbitkan pada Feb 20, 2019 oleh .

NVIDIA telah melancarkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX selama hampir setengah tahun, akan tetapi, jumlah permainan yang menyokong kedua-dua ciri Raytracing secara langsung dan DLSS (Deep Learning Super Sampling) sangatlah sedikit.

Baru-baru ini, di mesyuarat pemegang saham NVIDIA, CEO syarikat tersebut, Jensen Huang telah memberitahu mereka bahawa 2019 bakal menjadi tahun dimana kedua-dua ciri tersebut akan digunakan secara lebih meluas kerana lebih banyak studio permainan dan juga enjin-enjin permainan video akan tiba dengan sokongan Raytracing dan DLSS.

Dua daripada nama terbesar didalam industri permainan video dipetik oleh Jensen ialah Epic Games yang merupakan pembangun Unreal Engine dan juga Unity Technologies, pembangun enjin permainan Unity.

Epic Games telahpun mengumumkan dimana Unreal Engine akan menyokong teknologi-teknologi tersebut, akan tetapi Unity Technologies masih belum mengumumkan apa-apa sokongan mengenainya, dan ia dikatakan sekarang bahawa Jensen telah meniriskan sokongan tersebut secara tidak sengaja.

Terdapat juga beberapa laporan bahawa Unity Technologies ingin mengumumkan sokongan tersebut tidak lama lagi secara mengejut, tetapi kejutan tersebut nampaknya sudahpun dicuri oleh CEO NVIDIA tersebut, yang gamaknya ingin memberitahu pemegang-pemegang saham bahawa NVIDIA masih lagi syarikat tersohor dari segi teknologi grafik.

Apa pun, kehadiran sokongan Raytracing dan DLSS daripada kedua-dua syarikat ini mungkin sesuatu yang baik bagi mereka yang sudahpun membeli kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX sebelum ini.


TIPS & ULASAN