Tidak semua orang percaya akan Google. Ada sahaja di dunia ini masih lagi skeptikal dengan sekuriti yang Google tawarkan, seperti penyelarian akaun Google, sejarah Internet dan banyak lagi. Tetapi, mereka yang skeptikal ini masih lagi ingin menggunakan kemudahan Google seperti akses sejarah Internet secara rentas-peranti. Jadi, bagaimana caranya?
Paling mudah adalah menggunakan Windows Timeline. Iaitu fungsi latar masa yang mengumpul sejarah aktiviti yang dilakukan pada peranti Windows 10. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah sejarah internet, aplikasi dibuka, fail yang diakses dan banyak lagi. Untuk sejarah internet, ia hanya boleh paparkan sejarah dari Microsoft Edge.
Jadi untuk paparkan sejarah dari Chrome, satu pemalam telah diperkenalkan – Pemalam ‘Web Activities‘. Berikut adalah cara untuk menetapkan Web Activities agar boleh digunakan pada Windows Timeline untuk akses sejarah Internet Chrome secara rentas-peranti Windows 10.
1. Muat Turun pemalam Web Activities di Chrome Web Store dengan tekan ‘Add to Chrome‘.
2. Selesai muat turun, pasangkan pemalam ini dengan menekan ‘Add extension‘.
3. Log masuk akaun Microsoft yang sama dengan peranti Windows anda gunakan.
4. Pilih pelayar web mana yang ingin anda paparkan sejarahnya di Windows Timeline.
5. Selesai. Gambar di bawah adalah Windows Timeline dari HP Pavilion 15 for Gaming. Manakala, gambar bawahnya adalah daripada Microsoft Surface Pro 6. Anda boleh lihat, aktiviti aplikasi adalah berlainan. Tetapi, aktiviti web adalah sama.
Walaupun anda masih perlu log masuk akaun Microsoft dalam pemalam Web Activities, penyelarian akaun Microsoft pada sesuatu peranti tidaklah sehebat Google. Jadi, bagi yang skeptikal dengan akaun Google – mungkin akaun Microsoft tidak akan jadi masalah.