Bersama-sama pengumuman Xiaomi Mi 9, pihak Xiaomi turut telah melancarkan sebuah variasi peranti dengan spesifikasi pertengahan tetapi menawarkan ciri-ciri lebih kurang sama, iaitu Xiaomi Mi 9 SE.
Xiaomi Mi 9 SE hadir dengan skrin 5.97-inci bertakuk menggunakan skrin Samsung AMOLED, dijana cip Snapdragon 710, serta dilengkapi sokongan pengimbas cap jari pada skrin.
Xiaomi Mi 9 SE turut menggunakan sensor Sony IMX586 seperti mana yang digunakan pada Xiaomi Mi 9, selain menawarkan sokongan tri-kamera pada bahagian belakang. Xiaomi mengatakan hal ini sekaligus menjadikan ia menawarkan ciri-ciri peranti mercu pada telefon berkategori kompak. Mi 9 SE turut hadir dengan penawaran bateri berkapasiti 3,070mAh, selain kamera swafoto 20-megapixel.
Sokongan lain seperti pengecasan nirwayar pantas 18W, selain sokongan NFC turut dikekalkan pada telefon pintar ini.
XIaomi Mi 9 SE akan ditawarkan di China bermula 1 Mac ini dalam variasi pilihan 6GB RAM + 64GB storan pada harga bermula 1999 Yuan, iaitu sekitar RM1209. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah peranti ini akan dipasarkan di pasaran global.