Seperti banyak pengeluar lain, Xiaomi turut mempunyai produk peranti boleh pakai tersendiri. Antara yang terkenal adalah Mi Band dan Amazfit. Terkini, Xiaomi telah hadir dengan jam tangan pintar baru yang dinamakan Yunmai.
Jam tangan pintar ini dilancarkan melalui laman biayasama Youpin dan ia adalah jam yang memfokuskan kegunaan ketika bersukan. Yunmai menggunakan skrin bulat 1.3-inci AMOLED dengan teknologi penggunaan kuasa rendah dan juga skrin yang menjimatkan tenaga. Jam ini turut hadir dengan GPS dan GLONASS terbina untuk tujuan berjalan, berlari, berjogging atau mengayuh basikal tanpa membawa telefon pintar.
Bateri Yunmai ini adalah 420mAh dengan ketahanan sehingga 4 hari. Menariknya, jam ini turut hadir dengan cip U-BLOXGPS yang mempunyai sensor 9-paksi untuk memantau data jejak langkah, kalori terbakar, keberkesanan aktivit yang dilakukan dan lain-lain aktiviti. Seperti banyak jam tangan pintar lain, ia turut mempunyai pengimbas nadi.
Jam ini dijual pada harga yang agak berpatutan, iaitu RMB699. Ia adalah sekitar RM423 sahaja. Ia masih lagi dibiaya di laman biayasama Youpin dan penjualannya kelak hanya terhad untuk pasaran China.