Carian
LG Mengumumkan LG Q60, LG K50, Dan LG K40 – Hadir Dengan Paparan FullVision Dan Butang Google Assistant
February 21, 2019 Fahim Zahar

LG akan melancarkan beberapa telefon pintar pada acara MWC Barcelona 2019 tidak lama lagi. Peranti mercu yang bakal dilancarkan adalah LG G8 ThinQ dan turut akan melancarkan beberapa telefon pintar lain. Tiga telefon pintar kelas pertengahan LG telah diumumkan lebih awal dari acara MWC, iaitu LG Q60, LG K50, dan LG K40.

Apa yang menarik dengan ketiga-tiga telefon pintar ini adalah, ia menggunakan skrin ‘FullVision‘ yang bingkainya nipis. Skrin LG Q60 adalah 6.26-inci LCD HD+ bernisbah 19:9, LG K50 pula 6.2-inci LCD HD+ nisbah 19:9, manakala LG K40 hanya 5.7-inci LCD HD+ dengan nisbah 18:9. Turut terbina pada ketiga-tiga peranti ini adalah butang khas untuk mengakses Google Assistant.

LG Q60, LG K50, dan LG K40 dijana dengan cip pemproses lapan-teras 2.0GHz, RAM sehingga 3GB, storan dalaman sehingga 64GB dengan sokongan kad mikroSD sehigga 2TB. Bateri pula adalah daripada 3000mAh dan 3500mAh dan kesemua peranti ini mempunyai pengimbas cap jari pada bahagian belakang peranti.

Untuk kamera utama; LG Q60 mempunyai tri-kamera dengan lensa 16+5+2 Megapixel, di mana lensa 5 Megapixel itu adalah lensa ultra-lebar dan kamera swafoto pula adalah 13 Megapixel. LG K50 pula hanya mempunyai dua kamera utama, iaitu lensa gabungan 13+2 Megapixel tanpa lensa ultra-lebar dan kamera swafoto yang sama iaitu 13 Megapixel. Akhir sekali, LG K40 hanya mempunyai satu kamera utama – iaitu lensa 16 Megapixel dan kamera swafoto pula hanya 8 Megapixel. Kesemua kamera peranti LG ini turut mempunyai sistem kecerdasan buatan terbina.

Mengejutkan, walaupun ketiga-tiga peranti LG ini adalah peranti kelas pertengahan – ia menyokong pembesar suara DTS:X 3D Surround Sound. Tidak pasti lagi jika ketiga-tiga peranti ini mempunyai port USB-C atau mikroUSB, tetapi peranti pertengahan LG biasanya menggunakan USB-C. Jenis cip pemprosessan juga masih menjadi misteri. Kesemua peranti LG ini memfokuskan pada bateri dan juga prestasi kamera.

Informasi lanjut buat kesemua peranti ini hanya akan diketahui kelak pada acara MWC Barcelona 2019.

Komen