Xiaomi Turut Melancarkan Beberapa Aksesori Kuasa Nirwayar 20W

Xiaomi Turut Melancarkan Beberapa Aksesori Kuasa Nirwayar 20W

Diterbitkan pada Feb 21, 2019 oleh .

Semalam, beberapa variasi Xiaomi Mi 9 telah dilancarkan. Selain daripada kamera Mi 9 yang lebih hebat dari iPhone XS Max dan Note 9 menurut DxOMark – Mi 9 turut menyokong pengecasan nirwayar terpantas setakat ini.

Pengecasan niwayar Mi 9 adalah 20W dan di pasaran sekarang, kebanyakan aksesori kuasa nirwayar hanya menyokong sehingga 15W sahaja. Oleh itu, Xiaomi telah hadir dengan beberapa aksesori kuasa nirwayar tersendiri.

1. Xiaomi 20W Mi Wireless Charger

Walaupun Xiaomi telah mempunyai beberapa pengecas nirwayar tersendiri, termasuk dengan sub-jenama ZMI – tiada lagi yang menyokong sehingga 20W. Xiaomi 20W Mi Wireless Charger adalah satu-satunya pengecas nirwayar yang menyokong Mi 9. Ia mempunyai ruang udara untuk mengurangkan haba dan berwarna putih seakan model terdahulunya. Ia dijual pada harga hanya RMB99 (~RM60)

2. Xiaomi 20W Mi Wireless Car Charger

Turut dilancarkan adalah pengecas nirwayar dalam kereta. Pengecas ini terbina pada pemegang peranti yang perlu dipasang kepada bahagian penghawa dingin kereta. Input pengecas ini adalah 27W dan ia menyokong pengecasan nirwayar 20W. Pemegang peranti ini mempunyai motor, di mana dengan satu butang ia boleh buka/tutup secara automatik. Ia dijual pada harga RMB169 (~RM103)

3. Mi 10,000 mAh Wireless Powerbank

Pernah tertiris sebelum ini, tetapi tidak dijual. Kini ia dijual secara rasmi. Powerbank Xiaomi ini mempunyai kapasiti 10,000mAh dengan sokongan pengecas nirwayar. Tetapi pengecas nirwayarnya hanya terhad kepada 10W. Untuk pengecasan berkabel, ia hadir dengan sokongan pengecasan pantas USB-PD 18W. Bahan binaannya adalah besi dan bahagian pengecas nirwayar adalah bahan anti-gelincir. Ia dijual pada harga RMB149 (~RM90)

4. Set Pengecas Pantas 27W/20W

Xiaomi turut menawarkan set pengecas pantas. Di mana dalam satu pakej, terdapat satu pengecas pantas USB-PD 27W dan satu pengecas nirwayar pantas 20W. Ia dijual pada harga hanya RMB149 (~RM90) sahaja.


Menarik dengan pengecas pantas nirwayar 20W ini adalah, menurut Xiaomi ia mengambil masa hanya 60 minit untuk mengecas peranti sehingga 100%. Kesemua aksesori ini sudah pun disenaraikan di laman web Xiaomi China dan akan mula dijual tidak lama lagi. Dari apa yang ditawarkan, harga untuk aksesori kuasa yang berkuasa ini agak berbaloi dan mampu milik.


TIPS & ULASAN