Pada bulan Januari lalu, Nike telah melancarkan Nike BB. Ia adalah sepasang kasut swa-ikat yang boleh dikawal menggunakan telefon pintar. Ini bermakna, pengguna boleh ‘mengikat’ kasut Nike BB dengan menggunakan aplikasi khas – Nike Adapt.
Pada awal pelancaran, Nike Adapt hanya hadir di App Store secara terus menjadikan kasut Nike BB hanya boleh digunakan oleh pengguna iPhone. Beberapa minggu lepas, Nike Adapt telah hadir ke Google Play Store untuk memberi peluang pengguna Android memiliki kasut swa-ikat ini.
Sayang sekali, mana-mana pengguna Android yang cuba selarikan kasut Nike BB kepada peranti mereka – pasti akan berhadapan dengan banyak masalah. Antara masalah yang dihadapi adalah, hanya salah satu kasut sahaja yang terhubung, motor swa-ikat terus mati dan ada juga yang baru sahaja beli kasut sudah perlu melakukan hard reset.
Mengejutkan, ada juga yang melaporkan kasut mereka terus rosak sepenuhnya atau boleh dikatakan brick sebaik sahaja menyelarikannya dengan peranti Android. Pihak Nike sudah pun sedar akan isu ini dan sedang dalam proses mencari solusi. Syukur buat pengguna iOS, tiada masalah yang dihadapi.