Xiaomi hari ini telah mengambil pentas utama bersempena MWC 2019, dan memperkenalkan beberapa perkara baru. Salah satu perkara yang menjadi fokus utama Xiaomi pada acara ini adalah penawaran peranti 5G, dan telefon pintar 5G pertama yang diperkenalkan oleh pengeluar berkenaan adalah Mi Mix 3 5G.
Xiaomi Mi Mix 3 5G ini hadir dilengkapi dengan cip Snapdragon 855, dan menggunakan modem Snapdragon X50. Melaluinya, ia menawarkan kadar muat-turun dan muat-naik yang sangat pantas – dan seperti biasa bergantung kepada penawaran syarikat telekomunikasi.
Spesifikasi lain adalah lebih kurang sama seperti versi 4G peranti berkenaan, dimana ia menggunakan skrin 6.39-inci AMOLED, menggunakan rekaan skrin boleh-luncur berasaskan magnetik, dilengkapi dwi-kamera belakang 12MP + 12MP, selain kamera hadapan yang disembunyikan pada bahagian boleh-luncur 24MP + 2MP. Ia turut hadir menggunakan bateri 3800mAh yang dilengkapi pengecasan pantas Quick Charge 4+.
Mi Mix 3 5G ini akan hadir dalam dua pilihan warna, iaitu biru dan hitam. Penawarannya hanya terhad dibeberapa buah negara sahaja memandangkan penawaran rangkaian 5G masih terhad lagi di dunia buat masa ini.
Di Eropah, ia akan dijual pada harga 599 Euro, iaitu sekitar RM2768. Xiaomi akan memasarkannya bermula bulan Mei kelak.