Carian
Huawei Mate X Diperkenalkan – Telefon Boleh-Lipat Dengan Skrin 8-inci, Sokongan 5G, Pengecasan Pantas 55W
February 24, 2019 Aman

Huawei hari ini turut mengambil pentas utama bersempena dengan MWC 2019, dan telah memperkenalkan telefon pintar boleh-lipat daripada mereka tersendiri, iaitu Huawei Mate X.

Huawei Mate X

Huaewi Mate X menawarkan skrin yang dilipat keluar, dan bukannya ke dalam seperti pada Galaxy Fold. Ini sekaligus menawarkan rekaan skrin menyeluruh dan penuh – berbeza dengan pada penawaran Samsung.

Huawei mengatakan ia menawarkan skrin hadapan 6.6-inci apabila dilipat, skrin belakang 6.38-inci apabila dilipat, dan skrin menyeluruh 8-inci apabila dibuka. Dengan skrin bersaiz besar, ia juga menawarkan kemudahan untuk multi-tugasan dengan lebih baik padanya.

Huawei Mate X

Huawei Mate X

Huawei Mate X menggunakan sokongan butang-kuasa dilengkapi pengimbas cap jari pada bahagian sisi peranti. Huawei Mate X turut menawarkan rekaan skrin menyeluruh tanpa sebarang takuk atau skrin berlubang – berbeza dengan Galaxy Fold daripada Samsung.

Huawei Mate X

Huawei Mate X hadir dengan rekaan bingkai sedikit tebal pada bahagian tepi bagi memudahkan pengguna memegang peranti, selain turut menyertakan beberapa komponen serta penyambung USB-C untuk pengecasan pada bahagian berkenaan.

Huawei Mate X

Huawei Mate X turut menyertakan sokongan kamera berteknologi Leica – yang mana turut digunakan sebagai kamera untuk rakaman swafoto. Ini sekaligus membolehkan penghasilan rakaman gambar yang cantik melaluinya. Daripada apa yang diperlihatkan, ia menyertakan tri-kamera padanya untuk rakaman gambar.

Melengkapkan telefon pintar ini adalah sokongan rangkaian 5G – sekaligus menjadikannya antara telefon pintar terawal Huawei yang menawarkan sokongan rangkaian 5G. Untuk tujuan berkenaan, Huawei menggunakan modem mereka tersendiri, iaitu Balong 5000. Menjana telefon pintar ini adalah cip pemprosesan terbaru daripada Huawei, iaitu Kirin 980.

Huawei Mate X

Melengkapkan peranti ini adalah sokongan pengecasan pantas 55W Huawei SuperCharge, sekaligus membolehkan ia dicas dengan lebih pantas berbanding pelbagai peranti lain dipasaran. Huawei mengatakan dengan sokongan ini, ia boleh mengecas sehingga 85% bateri 4500mAh pada peranti ini dalam masa 30 minit.

Huawei Mate X

Huawei Mate X akan hadir dengan memori 8GB RAM dan 512GB, serta bakal ditawarkan pada harga 2299 Euro, iaitu sekitar RM10,625. Huawei mengatakan ia bakal dipasarkan bermula pertengahan tahun 2019 ini.

Huawei sendiri menekankan harganya agak mahal kerana kos penyelidikan dan sebagainya – selain ia masih pada peringkat awal. Berkemungkinan harga untuk panel boleh-lipat ini akan berkurangan dalam beberapa tahun, sekaligus mengurangkan harga jualan peranti berkenaan.

Komen