Pandang Pertama Xiaomi Mi 9 – Peranti Mercu Xiaomi Pertama Dengan Kamera Tiga Lensa

Pandang Pertama Xiaomi Mi 9 – Peranti Mercu Xiaomi Pertama Dengan Kamera Tiga Lensa

Diterbitkan pada Feb 26, 2019 oleh .

Siri peranti Mi dari Xiaomi dikenali orang ramai di seluruh dunia sebagai peranti mercu yang hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa, tetapi dijual pada harga yang lebih mampu milik daripada peranti-peranti lain yang sama di pasaran.

Xiaomi sebelum ini dilihat melancarkan peranti-peranti mereka di China dahulu sebelum mengumumkannya untuk negara-negara dimana mereka mempunyai pasaran terbesar, tetapi dengan peranti mercu terbaru Xiaomi Mi 9, mereka telah memulakan pra-tempahan peranti ini di tiga negara Eropah, termasuklah Sepanyol, Itali dan juga Perancis bermula hari ini sebelum mana-mana negara yang lain seperti India, yang dikatakan pasaran kedua terbesar Xiaomi selepas China.

Spesifikasi

Bermula dengan skrin paparan Xiaomi Mi 9 ini, ia dilengkapi dengan sebuah paparan skrin bersaiz 6.39 pada resolusi 1080 x 2340 pixel. Dengan peranti Mi 9, Xiaomi menggunakan panel Super AMOLED yang hadir dengan kualiti warna yang jitu dan juga berkualiti tinggi.

Apa yang menarik disini ialah paparan Mi 9 ini hadir dengan rekaan nirbingkai, dengan hanya satu takuk kecil di bahagian tengah atas yang merumahkan sebuah kamera pandang hadapan 20MP.

Ini juga menandakan bahawa Xiaomi Mi 9 merupakan salah satu daripada peranti mercu Android pada tahun ini yang masih menggunakan rekaan takuk berbanding dengan rekaan lubang kamera yang digunakan oleh peranti-peranti lain seperti siri Samsung Galaxy S10 dan Honor View20.

Beralih kepada spesifikasi dalaman, sama seperti kebanyakan peranti mercu Android yang akan hadir pada tahun ini, Xiaomi Mi 9 ini dilengkapi dengan CPU Qualcomm Snapdragon 855, iaitu cip pemprosesan peranti mudah-alih yang paling berkuasa setakat ini. Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 6GB dan juga dua pilihan storan dalaman, iaitu 64GB dan juga 128GB.

Di belakang peranti Mi 9 ini terletak modul kamera tiga lensa terbaru daripada Xiaomi, yang menggabungkan lensa 48MP, lensa ultrawide 117 darjah 16MP dan lensa telefoto 12MP yang nampaknya menjadi suatu norma di kalangan jenama-jenama peranti mudah-alih kebelakangan ini.

Dengan modul kamera tiga lensa ini, Xiaomi dilihat menjadi sangat serius mengenai kualiti gambar-gambar yang diambil oleh peranti mereka. Mi 9 mempunyai mod Portrait yang sedia ada pada banyak peranti, akan tetapi perbezaan disini ialah Mi 9 mampu mengambil gambar Portrait ini melalui lensa ultrawide, sesuatu yang masih belum dilihat lagi sebelum ini.

Apabila digabungkan dengan sistem laser autofocus terbaru Xiaomi, ia juga mampu memfokus dan mengambil gambar dengan kadar yang agak pantas dan secara tajam. Peranti Mi 9 ini turut menggunakan sensor gambar Sony IMX586 yang lebih besar berbanding sensor yang digunakan pada peranti Xiaomi Mi 8, dan ini menjanjikan kualiti imej yang lebih jitu dan berkualiti.

Tidak dilupakan ialah kamera swafoto 20MP yang terletak di bahagian hadapan yang sesuai sekali digunakan untuk mengambil gambar swafoto berkualiti tinggi.

Dalam pada itu, peranti Xiaomi Mi 9 ini juga mempunyai bateri sebesar 3300mAH, dan hadir dengan sokongan pengecasan pantas untuk sambungan kabel dan juga nirwayar sepantas 20W. Menurut Xiaomi, Mi 9 mampu dicas dari kosong hingga penuh dengan pengecasan nirwayar dalam masa 90 minit sahaja.

Rekaan

Rekaan peranti Xiaomi Mi 9 ini pada pendapat saya adalah tarikan utama peranti ini, disamping penggunaan CPU Qualcomm Snapdragon 855. Peranti Mi 9 hadir dalam pilihan tiga warna yang berbeza, iaitu Piano Black, Lavender Violet dan juga Ocean Blue.

Apa yang menarik mengenai rekaan rangka Mi 9 kali ini ialah Xiaomi menggunakan teknologi nano holographic pattern dan nano holographic color-coating untuk memberikan peranti Mi 9 ini rekaan warna yang unik dimana warnanya akan bertukar-tukar bergantung kepada sudut peranti tersebut dilihat.

Ini dapat dilihat dengan jelas sekali jika anda melihat bahagian belakang Mi 9 berwarna Lavender Violet dan Ocean Blue, yang akan berubah warnanya seakan-akan pelangi selepas hujan panas di waktu tengahari. Warna Piano Black sayangnya tidak mempunyai rekaan warna yang menarik ini.

Untuk memastikan peranti ini selamat daripada calaran dan retak akibat terjatuh, bahagian belakang dan paparan peranti Mi 9 ini dilengkapi dengan Gorilla Glass 5, manakala bahagian kamera belakang dikukuhkan menggunakan gabungan rangka besi aluminum dan juga kaca nilam.

Terletak di bahagian kiri peranti ini adalah butang pengubahsuaian audio dan juga butang kuasa, manakala di bahagian kanan peranti ini adalah butang khusus untuk ciri Google Assistant yang kini boleh diaktifkan dengan mudah.

Rekaan peranti Xiaomi Mi 9 ini cukup cantik dan selesa sekali apabila dipegang, dan ini adalah kerana bahagian sisi peranti ini hadir dengan rekaan chamfered edge yang biasanya digunakan pada peranti-peranti premium untuk cengkaman peranti yang lebih selesa.

Tidak kira orientasi pemegangan peranti, samada menegak ataupun mendatar, saya tiada isu memegang peranti ini, kecuali apabila ia akan mula menggelincir di dalam tangan saya akibat penggunaan kaca Gorilla Glass di bahagian belakang.

Satu kritikan daripada saya mengenai rekaan peranti Xiaomi Mi 9 ini ialah modul kamera bahagian belakang agak membonjol, dan walaupun ia dilengkapi dengan kaca nilam, masih terdapat kerisauan bahawa ia akan tercalar jika peranti tidak diletakkan dengan berhati-hati.

Ciri-Ciri

Jika anda telah membaca setakat ini, anda akan perasan bahawa kami sudahpun mengulas sedikit mengenai ciri-ciri terbaru yang dapat dilihat pada peranti Xiaomi Mi 9 ini.

Yang pertama ialah sistem kamera tiga lensa yang hadir dengan mod portrait pada lensa ultrawide, yang turut hadir dengan sistem laser autofocus yang menjanjikan tangkapan gambar yang pantas dan tajam. Lensa 48MP menjanjikan gambar yang berkualiti tinggi, manakala lensa telefoto membolehkan pengguna mengambil gambar yang tajam pada jarak jauh.

Kedua ialah kehadiran butang khusus untuk Google Assistant. Ini merupakan kali pertama sebuah peranti mercu Xiaomi Mi hadir dengan butang ini, kerana sebelum ini ia hanya dilihat pada siri peranti Xiaomi Mi Mix sahaja.

Xiaomi Mi 9 juga adalah peranti kedua Xiaomi yang dilengkapi dengan sensor cap jari yang terbina di dalam paparan peranti selepas Xiaomi Mi 8 Pro. Ujian awal kami menggunakan mekanisma cap jari ini menunjukkan bahawa ia agak pantas dalam menyahkunci peranti ini, dan proses penetapan cap jari juga boleh dikatakan cepat dan mudah.

Bagi mereka yang mementingkan pengecasan pantas, Xiaomi Mi 9 ini juga dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas QuickCharge 4+ yang hadir melalui CPU Qualcomm Snapdragon 855, dan juga sokongan pengecasan nirwayar yang hadir dengan sokongan bekalan kuasa setinggi 20W.

Pengecasan nirwayar ialah suatu teknologi yang boleh dikatakan sangat menarik dan berguna, tetapi isu terbesar mengenainya ialah kelajuan pengecasannya yang sangat perlahan.

Di acara pelancaran Mi 9, jurucakap Xiaomi sendiri berkata bahawa dengan teknologi pengecasan nirwayar 20W ini, Mi 9 ini boleh dicas dari kosong hingga penuh dalam masa 90 minit sahaja, Akan tetapi, kaveat di sini ialah pengecas nirwayar 20W tersebut perlu dibeli secara berasingan, dan tidak akan hadir bersama-sama dengan peranti Mi 9 apabila ia dijual kelak.

Dengan Xiaomi Mi 9, Xiaomi juga akan memperkenalkan MIUI 10, iaitu antaramuka pengguna yang kononnya dioptimasikan untuk paparan nirbingkai seperti peranti Mi 9 ini.

Dengannya hadir beberapa ciri baru seperti gesture dan antaramuka pengguna yang lebih kemas, termasuklah Ambient Display yang akan menunjukkan masa dan notifikasi-notifikasi penting tanpa menggunakan tenaga yang banyak.

Penutup

Peranti Xiaomi Mi 9 mungkin adalah peranti mudah-alih yang paling mengujakan daripada syarikat teknologi dari China tersebut untuk satu jangkamasa yang lama. Ia baru sahaja dilaporkan bahawa Mi 9 sudahpun melepasi ujian SIRIM dan akan hadir di pasaran tempatan tidak lama lagi.

Ia bakal menjadi peranti mercu pertama yang akan hadir dengan CPU Qualcomm Snapdragon 855 di pasaran tempatan, dan jika tanda harganya lebih kurang sama dengan apa yang ditawarkan untuk pasaran Eropah, ia pastinya akan menjadi peranti mercu pilihan ramai.


TIPS & ULASAN