Carian
Nokia 9 PureView Diperkenalkan – Hadir Dengan 5 Kamera Belakang Menggunakan Optik Zeiss, Snapdragon 845
February 24, 2019 Aman

HMD Global hari ini telah pun memperkenalkan telefon pintar memfokuskan fotografi daripada mereka, iaitu Nokia 9 PureView. Menjadi fokus utama untuk telefon pintar ini adalah sokongan 5 sensor kamera Zeiss pada bahagian belakang.

Nokia 9 PureView

Untuk menjayakan penggunaan multi-kamera ini, HMD Global bekerjasama dengan pihak Light yang sedia terkenal dengan teknologi multi-kamera mereka.

Dari segi penggunaan kamera, Nokia 9 PureView hadir dengan 5 kamera belakang 12-megapixel f/1.82, dimana ia hadir dengan dua kamera berasaskan RGB, sementara tiga lagi adalah berbentuk monokrom (hitam-putih). Untuk rakaman gambar hadapan pula, ia dilengkapi dengan kamera 20-megapixel.

Nokia 9 PureView

Nokia 9 PureView hadir dengan skrin 5.99-inci QHD+ pOLED, dijana cip Snapdragon 845, memori 6GB RAM, dan storan sehingga 128GB. Dengan fokus terhadap fotografi, Nokia turut bekerjasama dengan Adobe dalam menyertakan aplikasi Lightroom secara terbina pada Nokia 9 PureView.

Telefon pintar ini turut menggunakan pengimbas cap jari pada skrin, dilengkapi sokongan Bluetooth 5.0, dan bateri berkapasiti 3320mAh yang menyokong pengecasan nirwayar Qi. Peranti ini juga turut menawarkan sokongan kalis air IP67.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah telefon pintar ini akan memasuki pasaran Malaysia. Di Amerika Syarikat, ia ditawarkan pada harga $699, iaitu sekitar RM2849.

Komen