Cari @ Amanz

Dengan pelbagai pengeluar memperkenalkan telefon pintar dengan sokongan rangkaian 5G mereka tersendiri, pihak LG turut tidak ketinggalan dan telah memperkenalkan telefon pintar 5G mereka tersendiri, iaitu LG V50 ThinQ.

LG V50

LG V50 ThinQ membawakan elemen rekaan yang lebih kurang sama seperti LG V40 sebelum ini. Ia hadir dengan skrin 6.4-inci, dijana cip Snapdragon 855, memori 6GB RAM dan storan sebesar 128GB. LG menyertakan tri-kamera pada bahagian belakang, selain dwi-kamera hadapan gabungan 5MP + 8MP.

Disamping itu, telefon pintar dengan bateri 4000mAh ini turut menyertakan sokongan audio Hi-Fi Quad DAC, dan menariknya turut hadir dengan aksesori berupa sebuah skrin kedua untuk telefon pintar berkenaan.

Untuk makluman, konsep penawaran aksesori skrin kedua telah dilakukan oleh Asus untuk telefon ROG Phone mereka sebelum ini. Melaluinya, pengguna boleh memasang telefon pintar pada ruangan yang disediakan, dan menggunakan skrin kedua untuk tugasan tambahan, termasuk untuk mengawal permainan dan sebagainya. Namun, ia masih memerlukan pengoptimasian daripada pembangun aplikasi – membuatkan penggunaannya mungkin terhad dan tidak meluas.

Buat masa ini, harga jualan telefon 5G daripada LG ini masih tidak diketahui. Memandangkan banyak negara yang masih belum mengkomersialkan rangkaian 5G masing-masing, maka penawaran peranti ini mungkin terhad untuk beberapa buah negara sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd