Cari @ Amanz

Qualcomm Quick Charge atau pengecasan pantas QC adalah format pengecasan pantas daripada Qualcomm yang sudah lama wujud. Dari QC 1.0 sehinggalah QC 4.0+ yang turut menyokong USB-PD. Tetapi, itu semua adalah untuk pengecasan secara berwayar, bagaimana pengecasan secara nirwayar?

Qualcomm kelak akan hadir dengan format ‘Quick Charge’ untuk pengecasan pantas nirwayar. Kepantasan pengecasan pantas nirwayar QC dari Qualcomm ini akan memberikan kuasa sehingga 32W. Secara tidak langsung menjadi yang terpantas. Tetapi, apa yang Qualcomm akan lakukan adalah bukan sahaja format pengecasan pantas tersendiri – tetapi turut adalah berasaskan format pengecasan nirwayar Qi dari Wireless Power Consortium. Ini bermakna, pengeluar peranti tidak boleh menggelar peranti mereka mempunyai standard pengecasan nirwayar QC jika ia tidak mengikut standard Qi.

Xiaomi dilihat adalah pengeluar pertama yang melakukan sedemikian. Kita sudah tahu yang Xiaomi Mi 9 menyokong pengecasan nirwayar paling pantas setakat ini iaitu 20W. Tetapi untuk pengecasan pantas nirwayar itu, Xiaomi menggunakan standard tersendiri atau QC dan juga turut diiktiraf Qi oleh Wireless Power Consortium.

Kelak di masa hadapan kita akan lihat lebih banyak peranti yang menyokong pengecasan nirwayar pantas berasaskan QC dan juga turut menyokong format Qi. Razer Phone 2 dan Huawei Mate 20 hanya menyokong 15W dan Pixel 3 pula hanya 10W. Adakah sokongan 32W akan kelihatan tidak lama lagi atau Xiaomi adalah yang terpantas dan tidak ada yang berani?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd