Cari @ Amanz

Samsung hari ini telah memperkenalkan siri Galaxy A untuk tahun 2019, dimana dua telefon pintar baru yang diperkenalkan dibawah siri berkenaan adalah Galaxy A50 dan juga Galaxy A30.

Seperti penawaran siri Galaxy A sebelum-sebelum ini, Samsung kekal menawarkan sejumlah ciri-ciri premium pada peranti Galaxy A (2019) ini, tetapi pada harga yang lebih mampu milik berbanding penawaran peranti mercu.

Samsung Galaxy A30 A50

Samsung Galaxy A50 hadir dengan sokongan tri-kamera belakang, dilengkapi pengimbas cap jari pada skrin, serta sokongan pengecasan pantas.

Samsung Galaxy A30 pula hadir dengan sokongan pengecasan pantas, selain turut menawarkan skrin paparan bersaiz besar.

Kedua-dua telefon pintar ini turut hadir dengan rekaan bertakuk pada skrin yang dinamakan Infinity-U. Kedua-dua turut hadir dengan sokongan bateri 4000mAh bersama-sama dengannya.

Dari segi spesifikasi, Galaxy A50 hadir dengan skrin 6.4-inci FHD+, dijana cip lapan teras 2.3Ghz, memori sehingga 6GB RAM, dan storan sehingga 128GB. Ia turut hadir dengan kamera swafoto 25-megapixel, selain kamera belakang gabungan 25MP + 5MP + 8MP.

Untuk Galaxy A30 pula, ia hadir dengan skrin 6.4-inci FHD+, dilengkapi cip lapan-teras 1.8GHz, memori sehingga 4GB RAM, dan storan sehingga 64GB. Ia turut hadir dengan kamera swafoto 16-megapixel, selain dwi-kamera belakang 16MP + 5MP.

Kedua-duanya turut menyertakan sokongan Bixby, selain boleh digunakan untuk Samsung Pay.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah peranti ini akan memasuki pasaran tempatan, dan berapakah harga jualannya kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd