Carian
Pandang Pertama Teknologi Kamera 10x Zoom Nirhilang Dari OPPO
February 26, 2019 Nazrin

Ia tidak boleh dinafikan lagi bahawa kamera merupakan salah satu daripada sebab utama untuk seseorang mendapatkan peranti mudahalih yang baru.

Semenjak beberapa tahun lalu, teknologi kamera peranti telah melihat beberapa perubahan yang menarik dan ketara yang biasanya akan diikuti oleh pelbagai jenama peranti sebagai sebuah trend.

Ini termasuklah penggunaan sistem kamera dwi-lensa, penggunaan lensa RGB dan juga monokrom, dan terkini, penggunaan sistem kamera tiga lensa dimana kamera wide-angle, kamera dengan nilai pixel besar dan kamera telefoto digabungkan di dalam satu sistem kamera.

Binaan Kamera Zoom Nirhilang

Sewaktu acara pengumuman teknologi “10X Lossless Zoom” oleh OPPO, mereka telah memperlihatkan sebuah teknologi kamera baru yang membolehkan pengguna untuk mengambil gambar dengan jarak zoom x10 (dari 16mm hingga 160mm) tanpa mengalami sebarang degradasi pada gambar.

OPPO menggunakan sistem kamera dengan tiga lensa yang menggabungkan tiga jenis lensa yang berbeza, iaitu lensa wide-angle 120 darjah pada panjang fokus 16mm, kamera utama 48MP, dan kamera telefoto yang mampu mengambil gambar pada jarak 160mm.

Anda pasti terfikir, kesemua lensa-lensa yang digunakan didalam modul kamera ini pastinya akan menyebabkan lensa kamera terbonjol keluar, dan OPPO akui akan kekurangan ini, dan oleh itu, telah menggunakan sistem lensa periskop yang membolehkan mereka mencipta sebuah modul kamera yang mempunyai ketebalan 6.7mm sahaja.

Ini dapat dilihat pada modul lensa ini yang digunakan pada peranti demo di acara tersebut, dan ia boleh dikatakan hampir sekata dengan bingkai peranti tersebut.

Untuk menstabilkan gambar-gambar yang diambil menggunakan kamera-kamera ini, khususnya kamera telefoto, OPPO juga memuatkan ciri OIS (Optical Image Stabilization) pada dua lensa kamera ini, iaitu lensa kamera utama 48MP dan juga lensa telefoto. Menurut OPPO, sistem OIS ini membolehkan gambar yang diambil stabil dan tajam sehingga 10x zoom, dimana butiran imej juga akan kekal jitu.

Ujian Awal

Ujian awal kami menggunakan teknologi kamera unik ini agak menarik. Pada 1x zoom, kamera ini dilihat menggunakan kamera wide-angle 120 darjah yang mengambil gambar lebar tanpa begitu banyak herotan. Apabila kamera ini difokuskan pada 2x zoom pula, nisbah aspeknya dilihat berubah, dan ia akan bertukar menggunakan kamera utama 48MP.

Kamera tersebut dilihat akan menggunakan kamera utama ini sehinggalah ia difokuskan pada sekhitar 8x zoom, dimana nisbah aspeknya akan berubah lagi dan ia akan menggunakan lensa telefoto pula.

Mengubah fokus zoom adalah agak mudah, tetapi perubahan aspek ratio boleh dilihat dengan jelas, dan sedikit kekok, tetapi tidak mengganggu fokus kami. Akan tetapi, jika anda ingin zoom pada mana-mana panjang fokus yang khusus, ia mungkin sedikit kekok kerana dial digital yang digunakan mudah terlajak atau kurang.

Pada fokus x10, isu yang biasa dilihat pada kamera-kamera dengan panjang fokus yang tinggi seperti ini boleh dilihat, seperti kesukaran untuk membingkai gambar yang ingin diambil.

Kualiti gambar yang diambil dilihat agak bagus, akan tetapi saranan kami adalah jika anda mendapatkan sebuah peranti dengan teknologi kamera ini, seelok-eloknya anda gunakan sebuah tripod untuk kualiti imej yang terbaik.

Walaupun begitu, sewaktu kami menguji sistem kamera ini, kami dapat melihat kualiti gambar yang cukup bagus dari 1x zoom hinggalah ke 10x zoom. Untuk kualiti gambar zoom 10x yang terbaik, jurucakap OPPO turut menyarankan kami mengambil gambar pada jarak sekurang-kurangnya 1 meter daripada objek tersebut.

Sampel Gambar

1x Zoom

2x Zoom

8x Zoom

 

10x Zoom

Bonus: 20x Zoom

Penutup

OPPO berkata bahawa sistem kamera zoom 10x nirhilang ini akan tiba pada peranti-peranti mereka pada suku kedua 2019 kelak. Malah, modul kamera ini dikatakan sudahpun bersedia untuk keluaran secara besar-besaran tidak lama lagi.

OPPO masih belum mengumumkan lagi apakah peranti misteri yang akan menggunakan teknologi 10x zoom nirhilang ini, tetapi terdapat juga kemungkinan ia akan hadir dengan teknologi 5G yang turut diumumkan oleh mereka.

Komen