Cari @ Amanz

Acara Mobile World Congress tahun ini tiba dengan dua tema yang cukup besar untuk pasaran pengguna: teknologi 5G dan juga peranti dengan paparan boleh-lipat. Apa yang lebih menarik ialah dua syarikat teknologi yang terkenal dengan peranti-peranti mudah-alih hadir dengan interpretasi mereka tersendiri mengenai apakah rekaan terbaik untuk peranti seperti ini.

Salah satu syarikat tersebut ialah Huawei yang menunjukkan Huawei Mate X diatas pentas sejurus sebelum acara Mobile World Congress bermula secara rasminya. Pada mulanya tiada satu pun syarikat media yang dibenarkan menyentuh peranti serba baru ini, akan tetapi kami bernasib baik kerana diberi peluang untuk membelek peranti ini untuk seketika, dan ini adalah pandang pertama kami mengenai peranti tersebut.

Rekaan Dan Spesifikasi

Bermula dengan paparan skrin Huawei Mate X ini, ia hadir dengan rekaan yang agak aneh dan menarik. Apabila dibuka, saiz paparan ini berada pada 8.0 inci dengan resolusi 2,480 x 2,200 pixel, dan kelihatan seperti paparan nirbingkai FullView yang hadir pada peranti mercu Huawei sebelum ini, seperti Huawei Mate 20 Pro.

Keunikan paparan Huawei Mate X dapat dilihat apabila ia dilipat, dimana ia menjadi dua paparan depan dan belakang yang mempunyai saiz dan resolusi yang berbeza.

Pertama ialah paparan bahagian hadapan yang mempunyai saiz paparan 6.6 inci dengan resolusi 2,480 x 1148 pixel, dan jika anda memusing peranti ini di bahagian belakang, anda boleh melihat paparan ini juga mempunyai paparan kedua pada saiz 6.38 inci dengan resolusi 2,480 x 892 pixel.

Perbezaan dari segi paparan dan resolusi skrin pada kedua-dua paparan “berlipat” ini adalah kerana kehadiran bahagian “pemegang” yang merumahkan beberapa ciri peranti ini, seperti sistem kamera tiga lensa yang dicipta dengan kerjasama Leica – lebih kurang sama dengan peranti siri Huawei P dan Mate lain sebelum ini.

Paparan belakang Huawei Mate X ini juga mempunyai satu bahagian yang disediakan khusus untuk sebuah butang selfie, akan tetapi pada pendapat kami, lokasinya agak kekok untuk digunakan kerana peranti tersebut perlu dipegang pada bahagian yang sedikit sukar untuk mengaksesnya.

Selain dari itu, ia juga mempunyai sebuah butang yang menguncikan peranti ini di dalam mod terlipat, dan juga perlu ditekan untuk mengubah peranti ini kepada mod tablet. Bahagian tepi pemegang ini juga merumahkan butang kuasa yang dilengkapi sensor cap jari yang boleh digunakan untuk mengakses peranti ini dengan pantas.

Di dalam mod telefon, Huawei Mate X ini mempunyai ketebalan 11mm sahaja, dan apabila digunakan di dalam mod tablet, peranti ini boleh menjadi senipis 5.4mm.

Beralih kepada spesifikasi dalaman, prestasi Huawei Mate X dijana oleh cip pemproses Kirin 980, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan dalaman sebesar 512GB. Apa yang lebih mengagumkan lagi ialah peranti Mate X ini juga hadir dengan modem 5G Balong 5000 dan juga bateri bersaiz 4500mAH.

Bagi mereka yang risau mengenai pengecasan bateri yang terlalu perlahan, Huawei juga berkata bahawa ia akan hadir dengan pengecas 55W yang mampu mengecas bateri Mate X dari kosong ke 80-85 peratus penuh di dalam masa 30 minit sahaja.

Pengalaman Singkat

Spesifikasi yang hadir pada Huawei Mate X ini pada dasarnya memang cukup hebat. Secara teknikalnya juga, peranti Mate X ini mempunyai tiga paparan yang boleh digunakan dengan cara yang cukup berbeza.

Apabila dilipat, paparan hadapan peranti ini boleh digunakan sebagai peranti pintar biasa, manakala paparan belakang sesuai sebagai paparan untuk mengambil selfie melalui aplikasi kamera. Di dalam mod tablet pula, anda boleh menonton video-video kegemaran anda melalui YouTube, Netflix dan sebagainya.

Malah, dengan paparan mod tablet bersaiz 8.0 inci, anda juga boleh menonton atau mengolah kandungan daripada dua aplikasi yang berbeza tanpa sebarang masalah.

Tablet ini juga cukup ringan untuk digunakan dengan satu tangan sahaja, membuatkannya peranti produktiviti dan riadah, terutama sekali apabila digabungkan dengan bateri bersaiz besar dan juga sokongan untuk 5G yang menjanjikan sambungan internet yang sentiasa pantas.

Akan tetapi, selepas saya menggunakan Huawei Mate X ini untuk seketika, saya berasa sedikit risau mengenai mekanisma lipatan yang digunakan oleh peranti ini.

Huawei menggunakan mekanisma engsel yang dinamakan Falcon Wing, dan walaupun lipatan paparan kelihatan kemas pada peranti Mate X, kerisauan saya hadir apabila saya cuba melipat peranti ini buat pertama kalinya.

Bukan sahaja saya dapat merasakan klik daripada bahagian engsel Falcon Wing, bahagian lipatan paparan tersebut juga membuat bunyi seperti saya sedang menegangkan helaian plastik, dan ini membuatkan saya risau jika saya sedang merosakkan paparan tersebut.

Jurucakap Huawei menerangkan kepada saya bahawa unit yang diberikan kepada kami untuk lihat dan pegang adalah sebuah unit prototaip, dan pelbagai kemaskini sedang dilakukan untuk memperbaiki lagi mutu peranti Huawei Mate X ini sebelum ia dijual tidak lama lagi.

Akan tetapi, pihak Huawei juga masih belum mengumumkan apakah MTBF (Mean Time Before Failure) untuk Falcon Wing dan juga paparan boleh lipat tersebut, kerana cara lipatannya dikhuatiri akan menunjukkan degradasi dari segi kualiti jika ia cuba dilipat berkali-kali.

Penutup

Secara teorinya, idea untuk peranti dengan paparan boleh-lipat ini agak menarik. Mempunyai peranti yang boleh menjadi peranti pintar dan juga tablet di dalam satu rekaan bukanlah sesuatu yang baru, tetapi penggunaan paparan boleh-lipat adalah sesuatu yang hanya boleh diimpikan sebelum ini.

Dalam masa 15 minit yang sempat saya luangkan untuk bermain dengan peranti ini, saya melihat ada potensi yang cukup besar untuk masa depan paparan boleh-lipat ini, tetapi hanya jika pembekal-pembekalnya mampu menurunkan harga paparan ini dalam masa terdekat.

Tanda harga 2290 Euro (RM10,625) yang diminta untuk peranti ini adalah terlalu tinggi, terutama sekali untuk spesifikasi yang hadir pada Huawei Mate X ini, tetapi jika trend peranti boleh dijadikan ikutan, terdapat kemungkinan ia mungkin boleh diturunkan ke peranti-peranti kelas pertengahan dalam masa yang singkat.

Dengan peranti-peranti seperti Huawei Mate X ini, adakah kita akhirnya akan melihat inovasi baru pada peranti-peranti pintar yang akan datang, atau adakah ianya sekadar gimik yang akan mati dalam masa beberapa bulan? Apakah pendapat anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd