Carian
LG
Pandang Pertama LG G8 ThinQ – Peranti Dengan Gimik Seakan Kawalan The Force
February 28, 2019 Nazrin

LG ialah sebuah jenama teknologi yang cukup terkenal di Malaysia, tetapi sayangnya mereka memilih untuk fokus terhadap pasaran perkakasan rumah berbanding dengan pasaran peranti untuk negara ini.

Di acara Mobile World Congress pada tahun ini, syarikat Korea tersebut memperlihatkan dua buah peranti terbaru, iaitu LG G8 ThinQ dan juga LG V50 ThinQ. Di dalam artikel ini, saya akan mengulas sedikit mengenai masa singkat saya membelek peranti ini, dan ia adalah salah satu daripada peranti kegemaran saya di acara MWC 2019 ini.

Spesifikasi

Bermula dengan paparan skrin peranti ini, LG G8 ini dilengkapi denan paparan POLED (Plastic OLED) bersaiz 6.1 inci dengan resolusi 3120×1440 yang tahan dicalar dan juga hadir dengan ketebalan saiz skrin yang lebih nipis berbanding dengan paparan yang digunakan oleh LG sebelum ini.

Dari segi spesifikasi dalaman pua, sebagai sebuah peranti mercu, LG G8 ThinQ ini dijana oleh CPU yang paling berkuasa dari Qualcomm setakat ini, iaitu Qualcomm Snapdragon 855, Ia juga dilengkapi memori sebanyak 6GB dan juga storan sebesar 128GB yang boleh ditambah melalui kad microSD.

Di bahagian belakang peranti ini ialah sistem tri-kamera yang hadir dengan lensa utama 12MP (16mm), lensa ultrawide 16MP (12mm) dan juga lensa telefoto 12MP (52mm). Dibawah modul kamera tersebut ialah pengimbas cap jari yang boleh digunakan untuk menyahkunci peranti ini.

Apa yang menarik mengenai modul kamera ini ialah kedua-dua lensa utama dan telefoto hadir dengan sistem OIS (Optical Image Stabilization) dan Laser Autofocus, tetapi tidak pada lensa ultrawide.

Walaupun begitu, pemeriksaan awal kami akan sistem kamera ini menunjukkan tidak kira lensa apa yang digunakan, gambar yang diambil agak laju dan tajam, dan kualiti gambar juga boleh dikatakan agak bagus. Sistem kamera LG kali ini hadir dengan beberapa ciri yang menarik yang akan kami jelaskan sedikit dibawah.

Kamera pandang hadapan LG G8 ini merupakan fokus utama peranti ini, kerana ia dilengkapi dengan lensa 26mm dan juga kamera Time of Flight yang cukup penting untuk beberapa ciri yang hadir pada peranti LG G8 ini.

Dari segi spesifikasi bateri pula, LG G8 ini mempunyai bateri bersaiz 3500mAh dan menggerakkan sistem operasi Android 9.0 Pie.

Rekaan

Rekaan peranti LG G8 ini adalah diantara rekaan peranti kegemaran saya di acara Mobile World Congress tahun ini. Di reruai LG, ia dilihat bahawa pengguna boleh memilih untuk mendapatkan warna hitam, merah dan juga biru,

Pada pendapat saya, rekaan warna merah LG G8 ini adalah yang paling mengagumkan diantara ketiga-tiga warna yang saya lihat, dan dengan gabungan rangka kaca, ia memberikan rupa yang sangat anggun, dan sangat selesa sekali apabila dipegang.

Kilauan warna merah dan biru metalik peranti ini membuatkan saya rasa agak rugi jika telefon ini dilindungi menggunakan pelindung peranti kerana anda tidak dapat menghayati keanggunan rekaan LG G8 ini.

Bahagian kiri ini dimuatkan dengan butang kuasa dan butang kelantangan suara, manakala butang khusus untuk Google Assistant terbina di bahagian kanan peranti tersebut. Dan seperti biasa, peranti ini dilengkapi dengan palam USB Type-C untuk pengecasan bateri, dan disebelahnya ialah palam audio 3.5 untuk fon telinga.

Ciri-Ciri

Apa yang benar-benar menarik mengenai LG G8 ThinQ ini ialah ciri-cirinya. Ia hadir dengan pelbagai gimik yang menarik dan kadang-kala berguna pada secara tidak disangka.

Bermula dengan pembesar suaranya. G8 merupakan salah sebuah peranti pertama yang menggunakan teknologi pembesar suara Crystal Sound OLED (CSO) yang menghasilkan bunyi dan getaran bass melalui paparan skrin peranti ini.

Melalui teknologi audio CSO ini, LG turut hadir dengan ciri Boombox Lightshow yang menggunakan pembesar suara ini sebagai sebuah party trick dimana paparan ini juga digunakan sebagai sebuah pertunjukan cahaya yang kecil.

Beralih kepada bahagian kamera pandang belakang, sistem kamera LG G8 ini menggunakan gabungan kamera utama, telefoto dan wide-angle yang semakin banyak digunakan oleh banyak jenama peranti sekarang.

Peranti ini juga mempunyai beberapa ciri kamera yang cukup menarik seperti mod Spotlight dan Portrait yang membolehkan anda mengambil gambar portrait yang cukup cantik. Apabila kami mencuba peranti tersebut, ia juga dilihat bahawa pengguna boleh memilih warna latar belakang yang mereka inginkan, manakala gambar portrait yang diambil dilihat cukup kemas sekali potongannya.

Ciri-ciri yang seterusnya mungkin ciri kegemaran saya pada LG G8 ini. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, kamera hadapannya dilengkapi dengan kamera Time of Flight, dan apa yang menarik mengenai kamera ini ialah ia boleh digunakan untuk mengaktifkan sistem pengecaman muka yang biasa digunakan untuk menyahkunci sesebuah peranti.

LG G8 bukan sahaja hadir dengan sistem pengecaman muka, tetapi juga sistem pengecaman tangan yang dinamakan Hand ID, dimana pengguna boleh menggunakan tapak tangan mereka untuk menyahkunci peranti tersebut.

Sayangnya, kami tidak dapat menguji ciri tersebut, dan pihak LG memberitahu kami bahawa ciri tersebut masih belum bersedia lagi untuk ditunjukkan. Akan tetapi, apa yang diberitahu kepada kami mengenai teknologi Hand ID ini ialah kamera TOF ini akan membaca urat-urat didalam pergelangan tangan pengguna untuk menyahkunci peranti, selain daripada menggunakan raut wajah.

Walaupun begitu, peranti G8 ini masih mempunyai satu lagi ciri yang dinamakan Air Motion. Hampir sama seperti Hand ID, Air Motion membenarkan pengguna untuk mengakses beberapa kawalan dan menu pada lG G8 ini menggunakan gerakan tangan tanpa perlu memegang peranti.

 

Untuk mengaktifkan ciri Air Motion ini, anda hanya perlu melegarkan tangan anda berdekatan dengan kamera hadapan peranti ini, tarik tangan anda ke belakang tersebut, dan menu pilihan akan keluar pada paparan tersebut, meminta anda untuk memilih pilihan anda.

Jika digunakan di dalam pemain media muzik ataupun video, anda akan diberi pilihan untuk memainkan lagu, menjedakannya, ataupun untuk mengubah tahap audio media yang sedang dimainkan.

Saya banyak menghabiskan masa mencuba pelbagai konfigurasi Air Motion ini, dan jujur saya katakan bahawa saya rasa sangat teruja dengan ciri tersebut kerana ia membuatkan saya rasa seperti seorang pahlawan Jedi dengan teknik legaran tangan saya.

Penutup

Saya sudahpun berada di acara Mobile World Congress tahun ini selama beberapa hari, tetapi peranti LG G8 ThinQ ini adalah diantara dua ataupun tiga peranti yang benar-benar membuatkan saya rasa teruja apabila saya dapat bermain dengannya.

Saya tidak menafikan ciri Air Motion itu sendiri membuatkan saya inginkan LG G8 ThinQ ini, dan oleh kerana itu saya berasa sedih kerana kebarangkalian peranti tersebut untuk hadir di pasaran Malaysia sangatlah rendah.apabila dilihat kepada peranti-peranti pintar LG yang lain sebelum ini.

Oleh yang demikian, saya akan ke reruai LG setiap hari sepanjang acara ini untuk membelek peranti ini sebelum saya perlu pulang ke Malaysia.

Komen