Pandang Pertama: Redmi Note 7 – Peranti Redmi Premium Dengan Kamera 48 Megapixel

Pandang Pertama: Redmi Note 7 – Peranti Redmi Premium Dengan Kamera 48 Megapixel

Diterbitkan pada Feb 27, 2019 oleh .

Siri Xiaomi Redmi sudah lama berada di pasaran. Tetapi tahun ini, Xiaomi mengumumkan yang Redmi akan dipisahkan daripada keluarga Xiaomi dan dijadikan sebagai sub-jenama.

Peranti pertama Redmi adalah Redmi Note 7. Sewaktu ia dilancarkan, kami agak terkejut kerana akhirnya Redmi menggunakan port pengecasan USB-C dan juga bahan binaan kaca yang premium. Ini adalah pandang pertama kami, buat Redmi Note 7.


Spesifikasi

Redmi Note 7 dijana dengan Snapdragon 660, yang mana cip ini boleh dikatakan agak berkuasa untuk peranti kelas pertengahan. Walaupun ada lagi cip lain yang lebih baru seperti Snapdragon 675 atau 710. Redmi tidak menggunakan cip baru kerana mereka akan hadir dengan variasi lain. Peranti ini kemudiannya dipadankan dengan pilihan memori 3/4/6 GB RAM dan pilihan storan dalaman 32/64 GB.

Xiaomi menggunakan skrin 6.3-inci IPS LCD bertakuk kecil dengan rekaan bingkai nipis, tetapi berdagu tebal. Resolusi adalah FHD+ dan perlindungan yang digunakan adalah Gorilla Glass 5. Kamera utama yang digunakan adalah 48 Megapixel f/1.8 dan 5 Megapixel untuk bokeh. Kamera swafoto pula adalah 13 Megapixel dengan sokongan HDR.

Kapasiti bateri peranti ini adalah 4000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 4. Disebabkan QC4 mempunyai spesifikasi yang sama dengan USB-PD, ia turut boleh dicas dengan mana-mana pengecas Power Delivery. Sayang sekali, dalam kotak Redmi hanya sediakan pengecas biasa.

Reka Bentuk

Rekaan Redmi Note 7 ini adalah premium dan ia tidak seperti peranti Redmi lain. Peranti ini menggunakan panel belakang yang diperbuat daripada kaca dan ia adalah jenis yang rata dan tidak melengkung. Panel belakang ini adalah hampir dengan Mi 8 Lite, cuma ia lebih premium. Rekaan bingkai seakan iPhone XR, tetapi mempunyai dagu yang agak tebal. Tapi, iPhone XR ada takuk besar dan Redmi Note 7 mempunyai takuk kecil yang kemas.

This slideshow requires JavaScript.

Di bahagian bawah terdapat port USB-C dan pembesar suara mono. Di bahagian atas, Redmi mengekalkan bicu audio 3.5mm dan mengembalikan sensor infra merah untuk dijadikan alat kawalan. Di sisi kiri terdapat slot kad sim hibrid dan siri kanan adalah butang kuasa dan butang aras suara. Bahagian kamera Redmi Note 7 adalah bahagian yang mengecewakan, ini kerana ia mempunyai bonjol yang agak tinggi. Di bahagian bawah belakang peranti, logo Redmi by Xiaomi boleh kelihatan.

Seperti mana-mana peranti dengan panel belakang kaca, Redmi Note 7 juga menyebabkan panel belakangnya penuh dengan kotoran cap jari. Peranti ini agak berat jika dipegang dan terasa sedikit tebal, tetapi ia cukup selesa untuk penggunaan harian.

Kamera

Kami hanya sempat menguji kamera Redmi Note 7 dalam jangka masa yang singkat. Tetapi, kamera 48 Megapixel peranti ini – boleh dikatakan masih memerlukan kemaksini dan pengoptimasian. Ini kerana, ia tidak begitu memuaskan. Lensa 48 Megapixel ini juga, hanya boleh diakses melalui mod kawalan manual sahaja. Jika tidak, mod auto akan kecilkan gambar dan hasilnya tidak membanggakan.

This slideshow requires JavaScript.

Kamera swafoto boleh kata baik. Ia adalah standard bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Tidak begitu hebat dan swafoto bokeh pula agak kemas dan terdapat beberapa peningkatan. Seperti biasa, trend sekarang adalah setiap kamera akan mempunyai sistem kecerdasan buatan terbina. Redmi Note 7 boleh kesan objek dengan baik.

Mod malam peranti ini sekali imbas nampak baik dan bagus. Tetapi, jika dizoom hasilnya penuh dengan hingar dan agak kabur serta butirannya hilang. Mungkin dengan kemaksini perisian akan datang, ia akan mempunyai hasil lebih baik.

Lain-Lain

Redmi Note 7 menggunakan MIUI 10 berasakan Android 9.0 Pie. Ini juga merupakan peranti Redmi pertama yang menjalankan Android Pie. MIUI yang digunakan sama sahaja dengan MIUI pada peranti Xiaomi lain. Ia tidak mempunyai sebarang perkara istimewa seperti MIUI for Poco yang digunakan pada Pocophone F1.

Lain-lain ciri adalah sama sahaja dengan mana-mana peranti Xiaomi yang menjalankan MIUI 10. Cuma unit kami ini adalah unit set China dan banyak ciri dikhususkan untuk kegunaan negara sana sahaja. Contohnya adalah sokongan, e-Sim. Redmi Note 7 turut menyokong kad mikroSD untuk memberi ruang lebih banyak.

Kesimpulan

Redmi Note 7 adalah peranti pertama Redmi. Jadi bagi kami, banyak lagi pengoptimasian yang perlu dilakukan. Lebih-lebih lagi pada bahagian kamera. Dari segi penggunaan keseluruhan, ia memberi sedikit impak positif dan nampak kelainan jika dibandingkan dengan peranti Redmi lain.

Harga Redmi Note 7 di China adalah dari RMB999, RMB1199 dan RMB1399. Harga ini jika ditukar mata wangnya adalah sekitar RM607, RM728 dan RM850. Peranti akan masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN