Samsung Galaxy S10, S10+ dan S10e akan dilancarkan di Malaysia pada 1 Mac ini dengan jualan bermula seminggu selepas itu. Menerusi ketiga-tiga peranti ini, antaramuka baharu pelancar One UI 1.1 diperkenalkan. Ia adalah penambahbaikan dari One UI 1.0 yang telahpun diberikan kepada Galaxy S9, Note 9 dan Note 8 sejak tiga minggu yang lalu.
Kami yakin kerana perubahan yang dilakukan pada pelancar baharu ini, mungkin ramai tidak menyedari beberapa fungsi baharu yang diperkenalkan. Berikut ialah 10 perkara paling menarik yang diperkenalkan menerusi One UI pada Samsung Galaxy S10.
1. Antaramuka Mesra Penggunaan Sebelah Tangan
Perubahan paling drastik dilakukan pada elemen antaramuka One UI yang berasakan Android Pie. Majoriti butang yang boleh ditekan diletakkan pada bahagian bawah skrin. Ini adalah bagi membolehkan setiap elemen diakses dan ditekan oleh jari walaupun ketika menggunakan peranti dengan sebelah tangan.
Dengan saiz skrin Galaxy S10+ yang mencecah 6.4″, antaramuka yang lebih mesra pengguna perlu dihasilkan. Tiada lagi keperluan untuk mengakses One Handed Mode untuk menggunakan peranti dengan selesa. Kesemua elemen antaramuka juga adalah seragam dan konsisten bagi mempercepatkan lagi proses pengguna membiasakan diri menggunakannya.
2. Sistem Navigasi Berasaskan Gesture
Menerusi Android Pie, Google memperkenalkan sistem navigasi baharu yang tidak lagi memerlukan sistem tri-butang. Ia pertama kali digunakan pada peranti Pixel. Sekilas pandang antaramuka One UI, anda pasti menyedari Galaxy S10 masih lagi mempunyai sistem tri-butang. Namun begitu sebenarnya sistem berasaskan gesture sebenarnya tersorok.
Pengguna hanya perlu menatal ke kanan dari butang home. Ini akan terus membuka tingkap yang memaparkan kesemua aplikasi yang telah dibuka. Dengan menatal ke kiri dan ke kanan pengguna boleh membuka aplikasi yang ingin digunakan dengan pantas. Bagi mereka yang tidak selesa dengan sistem baharu ini, sistem tri-butang tradisional masih boleh digunakan. Fungsi yang sama tidak diberikan pada peranti Pixel dan Android One.
Android terkenal sebagai sistem operasi yang memberikan kebebasan memilih dan One UI memastikan pemilik peranti bebas memilih sistem navigasi yang lebih selesa digunakan mereka.
3.Mod Multi-Window Dan Pop Up Window Baharu
Antara soalan yang paling kerap kami terima menerusi media sosial pasca pengenalan Android Pie pada peranti Samsung ialah bagaimana melakukan mod Multi-Window dan Pop-Up Window. Tiada ikon tingkap mini seperti yang digunakan pada Android Oreo sebelum ini.
Untuk mengakses mod Multi-Window pengguna perlu menekan butang Multi-Tasking terlebih dahulu. Dari skrin ini pilih aplikasi yang ingin digunakan. Tekan ikon aplikasi sekali, anda kemudian akan diberikan lima pilihan iaitu
- App Info
- Open App in Split Screeen View
- Open In Pop Up View
- Change App Aspect Ratio
- Lock This App
Ambil pilihan kedua untuk untuk melancarkan dua aplikasi secara serentak. Ambil pula pilihan ketiga untuk melancarkan aplikasi di dalam tingkap kecil yang terapung di atas skrin sepanjang masa. Dengan ini anda masih boleh menggunakan dua fungsi yang dipelopori oleh Samsung pada peranti Galaxy S10 anda.
4. Butang Bixby Boleh Melancarkan Aplikasi Lain
Butang Bixby pada sisi kiri diperkenalkan pada Galaxy S8 dua tahun yang lalu. Pada awalnya butang ini boleh dikustomasi oleh pengguna sebelum Samsung menghalangnya atas sebab keselamatan. Pada Galaxy S10, akhirnya Samsung membenarkan pengguna untuk melancarkan aplikasi selain Bixby.
Tiga aksi boleh dipetakan pada butang Bixby iaitu tekan sekali, dua kali atau tekan selama beberapa saat. Menekan butang sekali dan dua kali boleh digunakan untuk melancarkan aplikasi berbeza. Menekan butang selama beberapa saat masih akan melancarkan Bixby Voice. Pilihan yang diberikan ini selari dengan pengumuman Google yang mahu pengeluar menyertakan butang khusus untuk Assistant. Pemetaan semula ini berguna bagi mereka yang mungkin tidak menggunakan Bixby dengan kerap.
5.Digital Wellbeing
Ketagihan digital ialah masalah yang semakin dipandang serius. Rakyat Malaysia secara purata menghabiskan 8 jam 6 minit sehari melayari Internet. Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding purata global 6 jam 42 minit. Sebelum ketagihan ini melarat atau menjadi masalah kepada anda, pemantauan lengkap perlu dilakukan. Digital Wellbeing ialah aplikasi terbina di dalam Android Pie. Ia memaparkan kesemua aktiviti yang dilakukan pengguna pada peranti. Aplikasi yang paling kerap digunakan, kekerapan skrin dinyahkunci dan jumlah notifikasi yang diterima boleh dipantau.
Pengguna kemudian boleh menggunakan Digital Wellbeing untuk mengunci aplikasi tertentu apabila ia melebihi kuota masa yang ditetapkan. Skrin juga boleh diarahkan untuk hanya memaparkan warna hitam dan putih selepas waktu tertentu. Ini telah dibuktikan oleh sains boleh mengurangkan ketagihan kerana aplikasi seperti Instagram dan pelayar web misalnya tidak menarik digunakan tanpa warna.
6.Night Mode
Skrin Adaptive AMOLED lebih menjimatkan penggunaan bateri berbanding skrin IPS LCD. Samsung telah menggunakan skrin AMOLED sejak Galaxy S pertama sedekad yang lalu. Apabila terdapat elemen berwarna hitam, peranti tidak memerlukan sebarang kuasa kerana pixel dimatikan. Hanya menerusi Android Pie akhirnya mode gelap disertakan secara terbina. Kini penjimatan bateri yang sebenar dapat dilakukan apabila keseluruhan sistem digelapkan. Pengguna moden memerlukan peranti yang mampu bertahan hampir sepanjang hari sebelum dicas. Penggunaan mod gelap akan mengurangkan penggunaan bateri dengan drastik.
7.Adaptive Battery
Aplikasi mengawal penggunaan bateri bukanlah perkara baharu malahan sudah wujud sejak zaman awal Android lagi. Hanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini Google secara serius menyertakan sistem pemantauan kuasa dan bateri secara terbina bermula dengan Doze menerusi Android 6 Marshmallow.
Adaptive Battery ialah evolusi seterusnya dalam pengawalan dan pengurusan bateri peranti. Ia menggunakan kecerdasan buatan untuk melihat tabiat unik setiap pengguna dan melakukan tetapan optimum untuk setiap aplikasi yang digunakan. Penjimatan kuasa dalam penggunaan CPU untuk menghidupkan aplikasi dapat diturunkan sehingga 30% kerana ia tahu bilakah pengguna akan menggunakan aplikasi dan apakah aplikasi yang akan dibuka seterusnya.
Apabila dipadankan dengan Night Mode, penjimatan kuasa yang lebih tinggi dapat dilakukan membuatkan pengguna tidak lagi bergantung kepada power bank.
8.Nyahkunci-Wajah Pada Kedudukan Landskap
Nyahkunci peranti menggunakan wajah kini adalah fungsi yang wajib disertakan. Tetapi kami menyedari tidak banyak peranti di pasaran yang membenarkan peranti dikunci pada kedudukan landskap. One UI 1.1 pada Galaxy S10 adalah sebahagian kecil pelancar di pasaran yang membenarkan peranti dinyahkunci pada posisi landskap. Tiada lagi masalah kepala perlu disendengkan semata-mata untuk menggunakan peranti yang terkunci ketika menonton video.
9.LIft To Wake
Sebelum ini skrin perlu dihidupkan terlebih dahulu untuk menggunakan sistem nyahkunci wajah. Ini dilakukan dengan menekan butang home atau melakukan dwitap pada skrin. Langkah tambahan ini membuang masa serta melambatkan proses nyahkunci. Pada One UI 1.1, pengguna boleh memilih sistem Lift to Wake yang secara automatik menghidupkan skrin apabila peranti diangkat. Ia tidak diaktifkan secara default dan boleh diakses menggunakan tetapan Display. Sistem nyahkunci menggunakan wajah akan terus berfungsi tanpa pengguna perlu menyentuh skrin.
10.AR Emoji Dikemaskini
Akhir sekali ialah sistem AR Emoji juga telah dikemaskini untuk kelihatan lebih realistik dengan wajah avatar yang lebih terperinci. Sistem akan menghasilkan avatar yang sehampir mungkin kepada muka sebenar pengguna dengan menggunakan gambar swafoto. Kemudian pengguna boleh melalukan kustomasi kesemua elemen wajah dan pakaian. Satu pembaharuan yang dilakukan ialah kepala AR Emoji kini boleh digunakan untuk mengambil swafoto. Ini tidak disokong pada versi AR Emoji sebelum ini.
Ini adalah sepuluh perkara paling menarik yang kami temui pada pelancar terkini One UI. Dengan pelbagai fungsi-fungsi menarik ini, Samsung berharap peranti yang ditawarkan akan menjadi unik dibandingkan dengan peranti pengeluar lain di pasaran.
Penafian: Ini adalah advertorial dari Samsung Malaysia