Cari @ Amanz

Perkhidmatan penstriman digital bukanlah sesuatu yang baru. Netflix, iflix dan Viu sudahpun hadir di pasaran tempatan dengan perkhidmatan mereka sendiri, dan sedang berkembang dengan pesat.

Akan tetapi, untuk orang ramai menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan ini, mereka pada mulanya perlu mempunyai sambungan internet yang laju sebelum mereka boleh menonton filem-filem dan siri televisyen kegemaran mereka.

Di sini tibalah KLIX TV, sebuah syarikat tempatan yang hadir membuat persembahan di MWC 2019 dimana mereka menerangkan bahawa platform penstriman mereka tidak menggunakan sambungan internet jalur lebar ataupun fibre, tetapi sambungan internet mudah alih.

Apa yang menarik mengenai perkhidmatan ini ialah KLIX berkata mereka mampu menstrim pelbagai jenis kandungan melalui Set Top Box (STB) mereka, termasuklah kandungan free-to-air, perkhidmatan penstriman lain seperti Netflix dan iflix, YouTube, DailyMotion dan sebagainya melalui sambungan mudah alih sahaja.

Melalui STB ini juga, bersama-sama dengan teknologi pemadatan data KLIX TV sendiri, para pengguna turut dikatakan boleh menonton kandungan pada resolusi 4K walaupun melalui sambungan 4G dan LTE.

STB yang ditawarkan oleh KLIX TV bukan sahaja merumahkan platform digital mereka, malah hadir dengan sokongan untuk penghala WiFi, jadi kad SIM yang digunakan untuk mengakses KLIX TV juga boleh digunakan untuk mengakses internet bagi seluruh rumah.

KLIX TV sudahpun sebelum ini hadir menjalankan beberapa ujian rintis di negara Indonesia dimana mereka menyiarkan perlawanan Piala Dunia pada tahun-tahun 2014 dan 2018. Siaran tersebut dilakukan di kawasan luar bandar Indonesia menggunakan sambungan data mudah alih, dan dikatakan cukup berjaya sekali.

Menurut Azuan Muda, CEO KLIX, KLIX TV ini bukan sebuah perkhidmatan terus ke pengguna seperti Netflix ataupun iflix. Buat masa ini, mereka ingin memfokuskan kepada perniagaan B2B mereka dimana mereka bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi di rantau ini untuk memastikan para penduduk di kawasan luar bandar dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.

Dari segi kandungan pula, KLIX TV akan bekerjasama dengan penyiar kandungan tempatan dan antarabangsa untuk memastikan bahawa pengguna boleh memilih kandungan apa yang ingin mereka tonton.

Menurut Azuan lagi, perkhidmatan KLIX TV ini akan dilancarkan dalam masa tiga hingga ke empat bulan lagi, dan mereka sudahpun bersedia untuk bekerjasama untuk beberapa syarikat-syarikat telekomunikasi besar di rantau Asia Tenggara.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd