Cari @ Amanz

Pandang Pertama Nokia 9 PureView – Peranti Khusus Untuk Pencinta Fotografi?

Oleh Nazrin

Link Copied!

Siri peranti Nokia PureView dikenali untuk sistem kameranya yang sangat kompleks dan berkuasa. Nokia 808 PureView misalnya ialah peranti pertama yang hadir dengan kamera yang mempunyai sensor 41MP di dalam sebuah kamera pintar, dan ialah sebuah peranti yang cukup sukar untuk ditandingi kebolehan kameranya oleh jenama-jenama lain.

Kini, di acara Mobile World Congress 2019, Nokia melalui syarikat HMD Global telah mengumumkan kehadiran peranti PureView yang terbaru yang dinamakan Nokia 9 PureView.

Spesifikasi

Nokia 9 ini hadir dengan paparan bersaiz 5.99 inci pada resolusi QHD+ menggunakan skrin Plastic OLED. Dari segi spesifikasi dalaman, ia dikuasakan oleh CPU Qualcomm Snapdragon 845, memori LPDDR4X 6GB dan storan 128GB.

Ia juga dilengkapi dengan sistem operasi Android 9.0 Pie melalui Android One, jadi bagi mereka yang lebih gemar menggunakan sistem operasi Android tanpa penambahan daripada pihak pembangun peranti, ini mungkin satu tarikan yang besar untuk anda.

Apa yang paling menarik mengenai Nokia 9 PureView ini ialah ianya hadir dengan lima buah kamera di bahagian belakangnya yang terdiri dari tiga buah kamera dengan sensor monokrom dan dua kamera dengan sensor RGB. Kami akan menerangkan sedikit lebih lanjut mengenai sistem kamera ini, dan mengapa Nokia menggunakannya pada peranti ini.

 

Nokia 9 PureView ini juga mempunyai sebuah kamera pandang hadapan 20MP, bateri sebesar 3320mAh, sokongan pengecasan nirwayar Qi, sokongan kalis air dan debu IP67 dan juga pengesanan cap jari yang terbina didalam skrin.

Rekaan

Rekaan Nokia 9 PureView ini boleh dikatakan agak elegan dan premium. Nokia menggunakan gabungan logam dan kaca untuk rangka peranti ini, dan sewaktu saya mencuba peranti ini ia memang selesa dipegan dalam tangan, sesuatu yang pada pendapat saya cukup penting untuk peranti ini yang mementingkan ciri fotografinya.

Rekaan paparan peranti Nokia 9 PureView ini juga cukup menarik. Di waktu banyak jenama peranti lain menggunakan paparan bertakuk ataupun paparan berlubang untuk memaksimakan saiz paparan hadapan, Nokia 9 PureView persis menggunakan paparan hampir nirbingkai di sisi, tetapi mempunyai sedikit dahi dan dagu.

Bagi Nokia, ia mungkin adalah penting bahawa pengguna Nokia 9 PureView ini boleh melihat keseluruhan paparan tanpa sebarang halangan apabila mereka mengambil gambar dengan peranti tersebut.

Pada pendapat saya, beberapa keputusan estetik yang dilakukan oleh Nokia mengenai peranti ini cukup kena dengan apa yang mereka ingin sampaikan kepada pengguna. Penambahan pengimbas cap jari di dalam paparan juga satu cara untuk mengatasi masalah kesesakan di bahagian belakang peranti ini.

Kamera Nokia 9 Ada Lima Kesemuanya

Kamera pandang belakang Nokia 9 PureView terdiri daripada lima buah lensa, kesemuanya hadir dengan sensor beresolusi 12MP dan apertur f1.8, di mana tiga daripadanya ialah kamera monokrom dan dua daripadanya adalah kamera RGB. Dan seperti biasa, kesemua kamera-kamera ini menggunakan kaca Zeiss dibelakangnya.

Jurucakap di reruai Nokia juga turut memberitahu kami bahawa Nokia telah bekerjasama dengan Light, sebuah syarikat yang terkenal dengan peranti dengan 16 lensa untuk sistem kamera Nokia 9 PureView ini.

Beliau berkata lagi bahawa penggunaan tiga sensor monokrom tersebut membolehkan sistem kamera Nokia 9 ini untuk mendapatkan cahaya yang lebih banyak, dan dari situ, butiran yang lebih mendalam juga. Ini ditambah lagi dengan sensor Time of Flight yang digunakan untuk menambahkan lagi depth of field pada sesebuah gambar.

Berbeza dengan kebanyakan kamera peranti pintar yang lain yang mengambil gambar menggunakan satu atau dua lensa, Nokia 9 menggunakan kelima-lima lensa yang hadir pada peranti tersebut sekaligus pada tahap pendedahan cahaya yang berlainan untuk sebuah gambar yang mempunyai warna jitu dan butiran yang mendalam.

Malah, jika anda masuk ke dalam galeri gambar Nokia 9 PureView ini, setiap gambar akan hadir dengan ikon yang menunjukkan mod apakah yang digunakan untuk menangkap gambar tersebut untuk memudahkan pengubahsuaian gambar.

Apa yang lebih menarik di sini ialah anda boleh mengubahsuai gambar anda dengan aplikasi mengedit gambar yang terbina di dalam peranti ini, termasuklah kawasan bokeh gambar-gambar yang diambil. Nokia turut bekerjasama dengan Google untuk penghasilan sistem kamera ini, dan hadir dengan sokongan untuk teknologi penambahan bokeh yang hadir pada Google Photos, dan ini adalah sesuatu yang cukup bagus.

Apabila melihat sampel gambar yang diambil menggunakan peranti ini, jurucakap Nokia turut memberitahu kepada kami bahawa jika anda mengambil gambar di dalam fail RAW, ia turut akan merakam gambar di dalam fail JPG sebagai sandaran. Sebuah fail gambar RAW akan mengambil sekurang-kurangnya 30-40MB storan, dan boleh menaik sehingga 120MB bergantung kepada gambar yang diambil.

Tujuan fail RAW tersebut adalah untuk membolehkan jurugambar untuk mengolah gambar tersebut mengikut keperluan mereka, dan walaupun ia boleh dilakukan di dalam peranti Nokia 9 ini, kebanyakannya pasti lebih gemar untuk melakukannya di dalam komputer dengan perisian-perisian seperti Lightroom dan sebagainya.

Salah satu kekurangan ketara yang dapat dilihat apabila saya menggunakan Nokia 9 ini untuk mengambil gambar menggunakan jenis fail RAW ialah peranti ini akan mengambil sedikit masa untuk mengolah gambar tersebut, walaupun satu gambar sahaja. Nokia 9 juga mampu mengambil gambar di dalam Burst Mode, tetapi masa yang diambil untuk mengolah kesemua gambar-gambar tersebut, dan anda perlu menunggu agak lama untuk mellihat gambar-gambar yang diambil.

Satu lagi isu disini ialah Nokia 9 hadir dengan storan 128GB sahaja, dan ia tidak mempunyai sebarang slot pengembangan storan microSD untuk menyimpan gambar-gambar yang bersaiz besar tersebut. Jika anda ingin keluar untuk mengambil gambar yang banyak dengan kamera ini, mungkin anda perlu membawa sebuah storan luaran dengan anda untuk memindahkan gambar-gambar yang telah diambil.

Pilihan storan dengan peranti ini hanyalah untuk menyimpannya menggunakan Google Drive ataupun Microsoft OneDrive, ataupun menyimpannya di dalam storan yang lebih besar diluar peranti.

Bateri 3320mAh peranti ini juga boleh dikatakan hanya sekadar mencukupi kerana sistem kamera lima lensa ini pastinya akan menggunakan kuasa bateri yang banyak.

Penutup

Konsep Nokia 9 PureView ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia agak menarik untuk melihat berapa jauh konsep peranti yang mengutamakan kamera ini boleh dibawa oleh mereka.

Tinjauan awal saya menunjukkan bahawa dari segi kualiti gambar dan binaan peranti tersebut sahaja, Nokia berada di landasan yang betul, tetapi masih terdapat banyak lagi isu yang mereka perlu perbetulkan.

Nokia 9 PureView ini dikatakan akan hadir di pasaran Amerika Syarikat pada 3 Mac 2019 pada harga $600, akan tetapi ia pastinya akan menghadapi saingan yang cukup hangat, terutamanya dari Samsung yang bakal melancarkan siri peranti Samsung Galaxy S10 pada sekitar masa yang sama,


Komen ()