Cari @ Amanz

Majoriti pengguna sudah biasa menggunakan telefon pintar dengan papan kekunci atas skrin. Tetapi ada sebilangan kecil pengguna yang masih lebih selesa menaip menggunakan papan kekunci fizikal. Tidak banyak peranti dengan papan kekunci fizikal di pasaran. Di MWC, F(x)tec Pro1 telah dilancarkan bagi memenuhi pasaran niche ini.

Ia dilengkapi skrin 5.99″ AMOLED, dijana cip Snapdragon 835, memori sebesar 6GB RAM, storan sebesar 128GB, kamera utama 12+5 Megapixel, kamera hadapan 8-Megapixel dan bateri sebesar 3200 mAh yang menyokong pengecasan pantas QC 3.0.

Sistem operasi Android Pie asli digunakan bagi memudahkan proses kemas kini. Papan kekunci fizikal melungsur dari bahagian belakang peranti lengkap dengan 64 kekunci yang setiap satunya berlampu. Turut disertakan ialah butang khas untuk kamera, pengimbas cap jari pada bahagian sisi dan bicu audio.

F(x)tec Pro1 dihasilkan oleh syarikat yang sebelum ini melancarkan projek papan kekunci fizikal untuk Motorola Moto Z sebelum ia dibatalkan. Bagi yang berminat peranti ini dijual pada harga $649 (~RM 2641).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd