Dron Pengiring Boeing Airpower Teaming System Diumumkan

Dron Pengiring Boeing Airpower Teaming System Diumumkan

Diterbitkan pada Feb 28, 2019 oleh .

Di dalam permainan video Ace Combat 7, dron telah menggantikan juruterbang manusia di medan peperangan. Saiznya yang kecil dan mampu melakukan aksi lincah yang tidak boleh dilakukan manusia memberikan ia kelebihan. Semalam sistem dron pengiring Boeing Airpower Teaming System (BATS) telah diumumkan ketika acara Australian International Airshow.

BATS mempunyai kemampuan swaterbang menggunakan kecerdasan buatan bagi membolehkannya berfungsi dengan selamat bersama pesawat yang dikawal oleh manusia. Ia mempunyai sistem pemantauan, intipan dan peperangan elektrik terbina namun tidak dilengkapi sebagai senjata buat masa ini.

Dron ini dibangunkan di bawah program Loyal Wingman Advanced Development bagi keperluan Tentera Udara Diraja Australian (RAAF). Ia harus berkemampuan mengiringi pesawat F/A-18E/F Super Hornet, EA-18G, E7A dan P-8A Poseidon yang digunakan oleh RAAF.

Sebuah enjin digunakan pada dron sepanjang 11.7 meter dengan jarak operasi 3,704 km. Pihak Boeing berharap penerbangan pertama dapat dilakukan seawal tahun hadapan.


TIPS & ULASAN