Pada tahun lalu, Razer telahpun melancarkan aplikasi dompet digital mereka, Razer Pay di Malaysia. Anggaran menunjukkan aplikasi ini telah memperolehi seramai 500,000 pengguna dalam masa tidak kurang daripada seminggu. Berikutan itu, bulan ini Razer Pay telah mula diperluaskan lagi dengan ciri-ciri terbaru mereka seperti kupon dalam aplikasi, pesanan segera, dan pengalaman dompet digital yang telah dipertingkatkan.
Min Liang Tan – Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Razer, menyatakan pelancaran ini adalah antara negara pertama yang bersedia untuk Razer Pay, dan pihak mereka melihat pejabat Razer Malaysia sebagai batu loncatan semula jadi untuk usaha seterusnya di rantau ini.
Melalui arena perniagaan ini, Razer turut mencari peluang bersama UOA untuk mendigitalkan dan mengintegrasikan sistem pembayarannya ke dalam aplikasi Razer Pay. Inisiatif ini akan membolehkan pengguna tempat letak kereta untuk menyelesaikan bayaran letak kereta mereka menggunakan aplikasi Razer Pay tanpa menunggu dalam barisan.
Mengikut data Jabatan Perangkaan di Malaysia, penembusan internet negara berada pada tahap 85.7% pada tahun 2017. Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati penembusan telefon pintar berada pada 75.9% pada tahun 2017. Pada masa yang sama, statistik menganggarkan bahawa jumlah nilai transaksi industri fintech Malaysia pada 2018 ialah RM35 bilion dan dijangka meningkat kepada RM50.4 bilion menjelang 2020. Peningkatan sebanyak 84% ini adalah disebabkan oleh pembayaran digital.
Yang Berhormat Lim Guan Eng – Menteri Kewangan Malaysia telah menekankan platform ini harus berfungsi untuk mengurangkan kos urus niaga bagi semua pihak dan memastikan tiada siapa yang tertinggal. Sama ada penduduk bandar dan kelas menengah, mahupun mereka yang tinggal di luar bandar dan milik kumpulan B40.
Razer juga telah mula bekerjasama dengan jenama isi rumah Malaysia lain menerusi tawaran menarik kepada pengguna. seperti 7-Eleven menawarkan kupon RM5 dan Kenny Rogers Roasters akan menawarkan kupon RM10 kepada pengguna aplikasi. Malah, U Mobile juga akan menganjurkan pertandingan mingguan dengan hadiah seperti Razer Phone 2.