Facebook Sedang Membangunkan Kriptowang Untuk Digunakan Bagi Pembayaran Melalui WhatsApp

Facebook Sedang Membangunkan Kriptowang Untuk Digunakan Bagi Pembayaran Melalui WhatsApp

Diterbitkan pada Mac 1, 2019 oleh .

Facebook telah diperkatakan beberapa kali sebelum ini yang mana mereka memfokuskan kepada arena rantaian-blok, selain turut sedang membangunkan kriptowang tersendiri. Terkini, menurut laporan NYT, pihak Facebook sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan sokongan kriptowang ini yang dijangka diintegrasikan pada WhatsApp.

Melalui integrasi pada WhatsApp, ia dijangka akan memudahkan pengguna untuk menghantar wang kepada rakan-rakan dan ahli keluarga dengan mudah. Penggunaan kriptowang juga akan membolehkan penghantaran dilakukan merentasi negara dengan mudah.

Facebook dijangka mengikat nilai kriptowang mereka terhadap beberapa mata wang negara berbeza – sekaligus memberikan nilainya lebih stabil berbanding beberapa kriptowang di pasaran hari ini.

Facebook 10 Tahun

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bagaimana pihak Facebook akan melaksanakan penggunaan ekosistem terpencar pada kriptowang mereka. Memandangkan sebagai sebuah syarikat yang ingin menjana keuntungan, mereka semestinya ingin lebih mengawal kriptowang mereka berbanding beberapa mata wang terpencar seperti Bitcoin dan sebagainya.

Ia juga agak menarik untuk melihat Facebook ingin mengujinya melalui WhatsApp terlebih dahulu – dan mungkin kriptowang ini juga adalah salah satu sebab mengapa Facebook ingin menyatukan infrastruktur untuk ketiga-tiga aplikasi permesejan mereka.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut berkenaan penawaran kriptowang daripada Facebook.


TIPS & ULASAN