Samsung Malaysia hari ini telah melancarkan siri telefon pintar Galaxy S10 untuk pasaran tempatan. Sebanyak tiga model dibawa masuk, iaitu Samsung Galaxy S10E, Samsung Galaxy S10 dan juga Samsung Galaxy S10 Plus.
Di Malaysia, Samsung Galaxy S10 E dijual pada harga RM2699, Galaxy S10 pada harga RM3299, dan Galaxy S10+ pada harga bermula RM3699. Ketiga-tiga model ini akan dijual secara rasmi di Malaysia mulai 8 Mac 2019 kelak.
Samsung Galaxy S10E merupakan versi paling asas, hadir dengan skrin 5.8-inci mendatar menggunakan panel AMOLED, dilengkapi cip Exynos 9820, memori 6/8GB RAM dan storan 128/256GB. Ia turut dilengkapi dwi-kamera belakang 12MP + 16MP, selain kamera hadapan 10-megapixel. Melengkapkannya juga adalah bateri berkapasiti 3100mAh.
Samsung Galaxy S10 pula hadir dengan skrin melengkung 6.1-inci AMOLED, dijana cip Exynos 9820, memori 8GB RAM, dan storan dalam pilihan 128GB atau 512GB. Ia turut menggunakan tri-kamera belakang gabungan 12MP + 12MP + 16MP, selain kamera swafoto 10-megapixel. Galaxy S10 menggunakan bateri 3400mAh bersama-sama dengannya.
Samsung Galaxy S10+ pula hadir dengan skrin 6.4-inci AMOLED, dijana cip Exynos 9820, memori 8GB RAM atau 12GB RAM, storan dalam pilihan 128GB, 512GB dan 1TB, serta bateri berkapasiti 4100mAh. Ia turut menggunakan kamera seumpama model Galaxy S10, dan dwi-kamera swafoto yang hadir dengan gabungan 10MP dan depth sensor.
Samsung akan mengadakan jerayawara (roadshow) untuk peranti ini dibeberapa lokasi seluruh negara untuk 8 Mac hingga 10 Mac ini. Menariknya, pembeli yang membeli ketika acara berkenaan akan turut mendapat beberapa hadiah percuma. Pembelian Galaxy S10E akan menerima Galaxy Buds percuma, Galaxy S10 dan Galaxy S10+ (128GB) akan menerima Galaxy Buds dan Screen Protection Plus, dan akhir sekali pembelian Galaxy S10+ (512GB) akan menerima Galaxy Watch Active dan juga Screen Protection Plus. Jerayawara ini akan diadakan di MidValley Megamall (Kuala Lumpur), AEON Tebrau City (Johor Bahru) dan juga Queensbay Mall (Pulau Pinang).