Pandang Pertama: Xiaomi Mi MIX 3 5G – Telefon Pertama Xiaomi Dengan Sokongan 5G

Pandang Pertama: Xiaomi Mi MIX 3 5G – Telefon Pertama Xiaomi Dengan Sokongan 5G

Diterbitkan pada Mac 3, 2019 oleh .

Xiaomi Mi MIX 3 5G
Skrin 6.39” AMOLED, FHD+
Nisbah 19.5:9, 403 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 855
CPU 1 x Kryo 485 2.84 GHz
3 x Kryo 485 2.42 GHz
4 x Kryo 485 1.8 GHz
GPU Adreno 640
Memori 6GB RAM
Storan 64GB/128GB UFS 2.1
Tiada slot mikroSD
Kamera Utama 12MP f/1.8 + 12MP (telefoto)
Kamera Hadapan 24MP + 2MP
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0, NFC
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem MIUI 10.2
Android 9.0 Pie
Bateri 3800 mAh, Quick Charge 4+
Dimensi 157.9 x 74.7 x 9.4 mm
Ketebalan 9.4mm

Xiaomi sebelum ini telah hadir dengan Xiaomi Mi MIX 3 iaitu peranti generasi ke-empat di dalam siri Mi MIX. Siri ini memfokuskan kepada rekaan skrin sepenuhnya dan telah melalui pelbagai iterasi dalam menjayakan rekaan skrin tanpa takuk. Ia juga dikategorikan sebagai peranti kelas mercu (flagship), atas janaan cip pemprosesan berkuasa di dalamnya.

Pada siri Xiaomi Mi MIX generasi asal, 2, dan 2S, kesemua model ini menggunakan rekaan dagu yang sedikit besar bagi perletakkan kamera hadapan. Bermula Xiaomi Mi MIX 3, Xiaomi menggunakan konsep binaan yang boleh diluncurkan untuk perletakkan kamera hadapan ini. Konsep ini turut digunakan pada Honor Magic 2 yang juga bersaing dalam segmen peranti kelas mercu.

Kami telah mengulas Xiaomi Mi MIX 3 pada sebelum ini dan ada beberapa perkara yang kami suka dan kurang suka mengenainya. Peranti ini dilengkapi dengan pelbagai pembaharuan baru, seperti penggunaan skrin AMOLED, keupayaan kamera yang ditambahbaik, dan ditawarkan pada harga yang berpatutan. Namun satu perkara yang kurang suka adalah baterinya yang hanya ditawarkan dalam kapasiti 3200 mAh.

Pada acara MWC 2019, Xiaomi telah mengumumkan sejumlah produk baru antaranya Xiaomi Mi MIX 3 5G yang merupakan versi kemaskini daripada Mi MIX 3. Ia membawakan sejumlah penawaran baru seperti cip pemprosesan yang lebih pantas dan seperti namanya, ia kini dilengkapi dengan keupayaan 5G. Bukan itu sahaja, peranti ini juga telah menaiktaraf kapasiti baterinya yang kini 18.75 lebih besar berbanding Mi MIX 3 versi asal.

Rekaan

Untuk spesifikasinya, Xiaomi Mi MIX 3 5G didatangkan dengan skrin AMOLED pada saiz 6.39-inci, cip Snapdragon 855, dan ditawarkan dengan memori 6GB RAM, dan pilihan storan 64GB/128GB. Ia juga menawarkan beberapa sambungan standard seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, NFC, bersama kapasiti bateri 3800 mAh.

Xiaomi Mi MIX 3 5G masih membawakan rekaan yang serupa seperti Xiaomi Mi MIX 3, dengan menampilkan bahagian yang boleh diluncurkan. Rekaan ini membolehkan peranti dengan skrin sepenuhnya dihasilkan, tanpa lagi bergantung kepada rekaan bertakuk. Apabila peranti ini diluncurkan, anda akan dapati perletakkan dua kamera hadapan, sensor, dan saluran pendengaran suara.

Xiaomi mengatakan rekaan ini mempunyai jangka hayat sebanyak 300,000 kali atau kira-kira 8 tahun penggunaan sekiranya ia dibuka dalam 100 kali sehari. Namun isu dengan rekaan ini masih ada pada versi ini, yang mana ia sedikit sukar dibuka ketika tangan dalam keadaan kering. Namun bahagian ini agak seronok untuk dibuka, kerana ia mengeluarkan bunyi yang futuristik. Ia juga membenarkan anda membuka sejumlah aplikasi apabila bahagian skrin peranti ini diturunkan.

Untuk paparannya, ia masih menawarkan saiz paparan yang sama iaitu 6.39-inci dengan panel berasaskan AMOLED. Dengan rekaan yang boleh diluncurkan, peranti ini telah berjaya membawa nisbah binaan-ke-skrin peranti setinggi 93.4%. Secara sekilas pandang, binaan hadapan peranti ini terasa sangat moden apatah lagi digarap dengan panel AMOLED yang cukup terang.

Binaan belakang peranti masih kelihatan serupa dengan perletakkan dwi-kamera, pengimbas cap jari, dan binaan seramik. Cuma pada versi kali ini, ia kini menampilkan logo “5G” untuk membezakan antara Mi MIX 3 asal dan Mi MIX 3 5G ini. Namun seperti peranti sebelum ini, ia turut mengundang kepada kesan kekotoran yang serius dan disarankan untuk memakai sebarang aksesori tambahan untuk melindungi peranti.

Perletakkan butangnya masih sama seperti Mi MIX 3, dengan menampilkan butang kuasa dan butang pelarasan suara di bahagian kanan, sementara slot dwi-sim dan butang Gogole Assistant di bahagian kiri. Ia juga menampilkan sambungan bicu audio di bahagian bawah, namun tidak menampilkan sebarang sambungan bicu audio 3.5mm dan IR blaster. Ia juga masih tidak menampilkan pembesar suara stereo, sekaligus memerlukan anda bergantung kepada pembesar suara mono di bahagian bawah.

Sistem

Xiaomi Mi MIX 3 5G telah menjalankan MIUI 10.2 yang dibina berasaskan Android 9.0 Pie. Ia membawakan antaramuka yang ceria, dengan penyertaan sejumlah animasi yang menarik dan sokongan tema secara terbina. Keseluruhan antaramukanya kelihatan kemas dan moden, yang mena banyak mengambil inspirasi daripada rekaan Android 9.0 Pie. Apa yang terbaru pada MIUI 10.2, ia juga telah sokongan tema berwarna gelap bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Tetapi perkara yang difokuskan kepada peranti ini ialah cip yang digunakan iaitu cip Qualcomm Snapdragon 855. Ia merupakan cip berkuasa dengan rekaan cip 7nm, sekaligus membolehkannya memberi penjimatan untuk penggunaan bateri. Ia terdiri dengan 1 teras perdana Kyro 485 2.84 GHz, 3 teras berkuasa Kryo 485 2.42 GHz, dan 4 teras Kryo 485 1.8 GHz untuk penggunaan jimat tenaga. Ia juga disertakan dengan GPU Adreno 640 bersama modem Snapdragon X50 bagi membolehkannya menikmati rangkaian terkini berasaskan 5G.

Kamera

Xiaomi Mi MIX 3 5G masih membawakan keupayaan kamera yang sama seperti Xiaomi Mi MIX 3 melalui perletakkan sensor utama 12MP (f/1.8, 1/2.55″, 1.4µm, PDAF, OIS) dan sensor telefoto 12MP (1/3.4″, 1.0µm). Ia masih menawarkan sokongan OIS bagi mengurangkan kesan gegaran terumata ketika penggambaran waktu gelap atau membuat rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dwi-tona warna bersama fungsi Night Mode secara terbina.

Untuk fungsi dan kawalannya, ia telah disertakan dengan sokongan rakaman video sehingga [email protected] bersama kebolehan rakaman gerak perlahan [email protected] Xiaomi turut melengkapkannya dengan fungsi Studio Lighting bagi membolehkan pengguna mendapatkan kesan pencahayaan seumpama di dalam studio. Ia juga mempunyai sokongan Night Mode, yang mampu meningkatkan kualiti penggambaran malam melalui penggunaan OIS dan shutter speed pada kadar perlahan. Untuk kebolehan Manual Mode, ia membolehkan pengguna mengubah white balance, fokus, shutter speed (1/1000s-32s), ISO (100-3200), dan jenis lensa (wide/tele).

Bateri

Seperti yang disebutkan pada permulaan artikel di atas, kapasiti bateri peranti ini telah ditingkatkan daripada 3200 mAh kepada 3800 mAh. Walaupun peningkatan ini hanya sekitar 18.75%, ia masih dilihat berguna dalam memanjangkan bacaan Screen-on-Time (SoT) peranti secara harian. Sekiranya pada Mi MIX 3 hanya mampu mencapai sekitar 4 – 5 jam, Mi MIX 3 5G ini dijangka mampu mencapai bacaan sekitar 5 – 6 jam untuk kegunaan sepanjang hari.

Untuk pengecasannya, MI MIX 3 5G masih menyertakan sokongan Quick Charge 4+ untuk menyingkatkan masa pengecasan peranti. Ia juga masih membawakan fungsi pengecasan Qi Wireless Charging untuk sokongan pengecasan tanpa wayar. Namun ia tidak dilengkapi dengan fungsi “Fast Wireless Charging 20W” seperti Xiaomi Mi 9, dengan hanya menyajikan teknologi pengecasan tanpa wayar berasaskan 10W.

Rumusan

Xiaomi Mi MIX 3 5G dilihat telah membawa 3 perubahan utama iaitu dari segi cip pemprosesan yang digunakan, sokongan modem baru, dan kapasiti bateri yang dipertingkatkan. Ia kini telah dijana dengan cip terkini Snapdragon 855 yang membolehkan pengguna menikmati cip yang efisien melalui binaan 7nm. Ia juga menjadi Xiaomi pertama dengan 5G, dengan penyertaan modem Snapdragon X50 untuk menggalas kebolehan rangkaian terbaru ini. Apa yang menarik, kapasiti baterinya telah ditingkatkan kepada 3800 mAh untuk memberi penggunaan yang lebih lama.

Peranti ini juga dapat menikmati penawaran seperti Mi MIX 3 asal seperti kehadiran skrin AMOLED yang mampu memberi paparan yang lebih terang berbanding skrin IPS LCD biasa. Ia juga membawakan rekaan yang cukup premium, melalui penyertaan binaan berasaskan seramik di bahagian belakang peranti. Pengguna juga dapat memanfaatkan penggunaan dwi-kamera hadapan dan belakang peranti ini, yang dilihat mampu memberi hasilan gambar yang terang untuk harganya.

Xiaomi Mi MIX 3 5G telah diumumkan pada harga bermula €599 euro atau sekitar RM2776. Ia boleh dikatakan antara telefon 5G dengan harga yang rendah sekiranya dibandingkan dengan Samsung Galaxy S10 5G, LG V50 ThinQ, dan Huawei Mate X. Dengan jualan set import yang mudah didapati di Malaysia, Xiaomi Mi MIX 3 5G ini mungkin antara peranti 5G terawal yang anda boleh dapat di Malaysia apabila ia bakal dijual bermula Mei 2019 ini.


TIPS & ULASAN