Minggu lalu, Grab telah mula mengumumkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku platform hebahan kesedaran dalam membanteras jenayah kanak-kanak negara menerusi NUR Alert.
Sistem Amaran Kecemasan Kebangsaan (NUR Alert) adalah inisiatif kebangsaan yang membantu menyebarkan maklumat yang berkaitan dengan kehilangan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Pemandu Grab di 32 bandar-bandar utama akan menerima amaran NUR Alert bagi membolehkan mereka membantu mencari kanak-kanak tersebut menerusi maklumat lokasi terakhir mereka dilihat.
Sebahagian daripada Dasar Perlindungan Kanak-Kanak dan Pelan Tindakan Nasional Malaysia, NUR Alert akan dikongsikan pada penguatkuasa undang-undang dan agensi kawal selia apabila laporan polis dibuat yang menunjukkan kemungkinan anak hilang menjadi mangsa penyalahgunaan atau jenayah lain.
YB Hannah Yeoh – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat menyifatkan sistem amaran NUR ini adalah bahagian utama pertahanan negara dalam melindungi keselamatan diri kanak-kanak. Pada majlis yang sama juga, beliau telah mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM50,000 bagi membantu usaha memastikan perlindungan penjagaan kanak-kanak dan masyarakat dipertingkatkan.
Grab juga akan meneroka lebih banyak penambahbaikan dalam membangunkan mekanisme terbaru mereka. Di samping, meningkatkan kesedaran penumpang dan komuniti terhadap amaran NUR Alert.