Carian
Pininfarina Battista Ialah Kereta-Hiper Elektrik Dengan 1,900 Kuasa Kuda
March 5, 2019 Effi Saharudin

Ketika dekad 80an, kereta berkuasa tinggi mula dihasilkan bagi memenuhi keperluan golongan Yuppies yang mempunyai banyak wang dan memerlukan sebab untuk berbelanja. Hasilnya ialah wujud adi-kereta seperti Lamborghini Diablo dan Ferrari F40. Kita kini hidup di dunia di mana pembaziran bahan api fosil tidak lagi dipandang ringan sekaligus menimbulkan kelas baru kereta elektrik berkuasa elektrik.

Pininfarina Battista ialah kereta-hiper elektrik yang baru sahaja dilancarkan dengan kuasa 1900 kuasa kuda. Empat motor elektrik keluaran Rimac digunakan yang mampu menghasilkan 2,300 Nm daya kilas motor. Dengan kuasa yang tinggi ini Battista mampu mencapai 100 km/j dalam masa hanya dua saat. Ia kemudian hanya memerlukan 10 saat sahaja lagi untuk mencapai kelajuan maksimum 350 km/j.

Keseluruhan tubuh dan casis diperbuat daripada gentian karbon yang ringan. Hanya bahagian menyerap hentakan pada bahagian belakang dan hadapan diperbuat daripada aluminium. Pek bateri sebesar 120 kWh mampu memberikan jarak operasi sehingga 450 kilometer. Ia diletakkan di belakang tempat duduk bagi membolehkan Battista mempunyai sebaran berat seakan sebuah kereta konvensional dengan enjin di bahagian tengah (seperti Ferrari 488).

Sebanyak 150 Pininfarina Battista akan dihasilkan dengan tiga kereta pertama akan diperlihatkan di Geneva Motor Show yang akan berlangsung pada 7 Mac hadapan. Pilihan warna yang ditawarkan ialah Satin Grey, Pearlescent White dan Blu Iconica.

Komen