Carian
Apple Kini Akan Memperbaiki iPhone Walaupun Ia Menggunakan Bateri Pihak Ketiga
March 6, 2019 Nazrin

Apple biasanya sangat tegas apabila berlaku keadaan dim ana peranti-peranti mereka, terutamanya iPhone perlu diperbaiki. Secara lazimnya, semua komponen yang digunakan perlu disahkan tulen sebelum mereka akan membenarkan jurutugas mereka memperbaikinya.

Terkini, Apple dikatakan bakal melonggarkan sedikit peraturannya, dimana jika sebuah iPhone yang dihantar ke Genius Bar ataupun Apple Authorised Service Provider (AASP) untuk diperbaiki, juruteknik dibenarkan untuk memperbaiki peranti tersebut walaupun ia didapati menggunakan bateri dari pihak ketiga.

Ini termasuklah pembaikan yang memerlukan pertukaran bateri, dan yang tidak memerlukan pertukaran bateri. Apa yang lebih menarik lagi, jika bateri yang perlu diganti ialah bateri pihak ketiga, pihak AASP boleh menggantikannya dengan bateri tulen, dan jika rangka dalaman terlalu teruk untuk diperbaiki, dan peranti tersebut masih berada di dalam waranti, mereka dibenarkan untuk menggantikan peranti tersebut dengan peranti baru.

Menurut dokumen dalaman yang diterima oleh Macrumors, pertukaran polisi ini adalah sesuatu yang agak baru, dan berkuatkuasa secara global.

Buat masa ini, kami masih tidak pasti mengapakah Apple menukar polisi pembaikan peranti mereka, kerana sebelum ini mereka cukup tegas mengenai komponen-komponen yang digunakan didalam peranti-peranti tersebut.

Komen