Samsung Sedang Membangunkan Dua Lagi Rekaan Baru Untuk Telefon Dengan Skrin Boleh-Lipat

Samsung Sedang Membangunkan Dua Lagi Rekaan Baru Untuk Telefon Dengan Skrin Boleh-Lipat

Diterbitkan pada Mac 6, 2019 oleh .

Samsung pada bulan lepas telah pun memperkenalkan telefon dengan skrin boleh-lipat mereka yang pertama, iaitu Samsung Galaxy Fold. Kini, menurut laporan Bloomberg, pengeluar dari Korea Selatan berkenaan sedang membangunkan dua lagi telefon dengan skrin boleh-lipat yang baru – tetapi menawarkan rekaan yang berbeza.

Samsung Galaxy Fold

Dua variasi yang sedang dibangunkan sekarang adalah, yang pertama menggunakan rekaan telefon lipat suatu ketika dahulu, dimana ia dilipat dari atas-kebawah dan menawarkan rekaan skrin memanjang.

Sementara satu lagi rekaan yang sedang dibangunkan adalah rekaan skrin yang dilipat ke luar – lebih kurang seperti pada Huawei Mate X.

Samsung dikatakan akan memperkenalkan telefon yang boleh dilipat atas-kebawah ini sekitar penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Buat masa ini, pihak Samsung tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi berkaitan dengan perkara ini. Sekiranya benar, ia dilihat seperti Samsung tidak ingin ketinggalan dalam arena peranti dengan skrin boleh-lipat, dan ingin mendapatkan pegangan pasaran secepat mungkin dalam arena berkenaan.

Selain Samsung, sejumlah pengeluar lain telah turut memperlihatkan peranti mereka. Pihak Apple masih tidak mengumumkan sebarang perancangan mereka dalam arena berkenaan buat masa ini.


TIPS & ULASAN