PlayStation Portable atau dikenali sebagai PSP merupakan sistem permainan mudah-alih yang berjaya dihasilkan oleh Sony. Ia mula diperkenalkan pada 12 Disember 2004 di Jepun untuk memberi persaingan kepada Nintendo DS. Sistem permainan ini telah berjaya dijual sebanyak 82 juta unit sepanjang 10 tahun peranti ini dikeluarkan. Perkara ini membuatkan ramai pengguna mahukan peranti baru selepasnya dan Sony berminat untuk membangunkannya.
Sony mengumumkan projek “Next Generation Portable” mereka dalam acara “PlayStation Meeting” di Jepun pada 27 Januari 2011. Ura-ura mengenai pengenalan “PSP 2” akhirnya terjawab pada acara ini, setelah laporan awal mengenainya telah diperkatakan sejak Julai 2009. Laporan awal ini mengatakan “PSP 2” ini akan dijana dengan GPU PowerVR SGX543MP, yang mana mampu memberi prestasi permainan seumpama Xbox generasi pertama.
Pada acara “PlayStation Meeting” tersebut, Sony mengatakan “Next Generation Portable” (atau NGP) ini disasarkan untuk membawa keupayaan grafik dan visual seumpama PlayStation 3 dalam sebuah peranti mudah-alih. Namun kemudiannya ia telah diperbetulkan oleh jurutera Sony yang mana ia akan membawa keupayaan grafik di antara PSP dan PlayStation 3. Ia juga dikatakan dibina dengan fungsi antara telefon pintar dan sistem permainan mudah-alih, melalui pengenalan skrin sesentuh, sokongan selular, dan kehadiran sejumlah butang fizikal bersama dua kawalan analog.
Pada acara E3 2011, Sony akhirnya mengumumkan nama sistem permainan ini sebagai PlayStation Vita (atau dikenali secara ringkas sebagai PS Vita). Perkataan “vita” diambil daripada bahasa Latin yang mana ia memberi maksud “life” atau “kehidupan”. Pada acara tersebut, Sony memperincikan keupayaan grafiknya yang impresif selain mengekalkan rekaan bentuk rekaan peranti seumpama PSP. Akhirnya pada 15 Februari 2012, PlayStation Vita dijual secara rasmi di Jepun dengan 26 buah permainan — iaitu angka permainan terbanyak yang dikeluarkan ketika pelancaran konsol/sistem permainan baru.
Hadir dengan perkakasan yang berkuasa
PS Vita diwujudkan untuk membawakan pengalaman permainan seumpama konsol di dalam bentuk sistem permainan mudah-alih. Ia dilengkapi dengan input yang menyeluruh, seperti butang fizikal, kawalan sesentuh, namun digarap dengan sejumlah teknologi daripada telefon dan tablet. Rekaannya menyerupai seperti PSP, dengan membawa paparan skrin sesentuh 5″ qHD OLED yang menghiasi bahagian tengah peranti.
Di dalamnya telah membawakan system on chip yang diubah melalui kehadiran cip empat-teras Cortex-A9 MPCore dan GPU empat-teras SGX543MP4+. Ia juga dilengkapi dengan memori video 128MB VRAM dan memori sistem sebesar 512MB RAM untuk kebolehan multi-tugasan. Dengan kesemua kehadiran spesifikasi ini, PS Vita mampu memberi kuasa pemprosesan grafik di antara PSP dan PS3 tanpa perlu membebankan penggunaan bateri.
Ia juga menyokong kebolehan “backward compatibility” dengan membolehkan peranti ini memainkan permainan PSP dan PSone. Walaupun ia tidak lagi menawarkan storan Universal Media Disc (UMD) seperti PSP, permainan-permainan ini mudah diperolehi melalui PlayStation Store.
PS Vita turut menyertakan kebolehan WiFi 802.11 b/g/n, Bluetooth 2.1 + EDR, pembesar suara stereo, dan perletakkan dua buah kamera 0.3MP. Ia boleh digunakan untuk kegunaan mengambil gambar dan panggilan video, selain mampu mengenalpasti pergerakan muka dan kepala. Sekiranya mendapatkan versi selular, ia turut membolehkan pengguna mengakses internet dan menikmati permainan atas talian melalui rangkaian 3G.
Kapasiti bateri yang ditawarkan juga dilihat baik, yang aman menyerupai Nintendo Switch dengan masa permainan sekitar 3-5 jam. Namun dengan pengenalan model PCH-2000, ia mampu memberi ketahanan yang lebih lama, iaitu sekitar 4-6 jam walaupun kapasiti baterinya hampir sama seperti model PCH-1000.
Harga yang ditawarkan ketika awal pelancarannya di Malaysia ialah RM1099 melalui model PCH-1000 (WiFi). Kemudian pada 6 Disember 2013, Sony telah melancarkan PS Vita Slim menerusi model PCH-2000 (WiFi) pada harga RM859.
Dengan menilai spesifikasi yang didatangkan, PS Vita berpontensi untuk menggalas pelbagai permainan moden untuk kegunaan beberapa tahun ke hadapan selepas pelancaran peranti ini. Kapasiti baterinya dilihat baik, mempunyai fungsi kawalan yang inovatif, dan hadir dengan sambungan tanpa wayar yang lengkap untuk menggalas keperluan atas talian. Boleh dikatakan PS Vita ini mempunyai kesemua ramuan untuk menjadi sebuah alat permainan yang berjaya.
Sambutan yang hangat pada mulanya, namun menurun secara berterusan
Jualan PlayStation Vita pada awalnya mencatatkan angka yang impresif, namun kemudiannya ia menurun secara drastik. Ketika pelancarannya di Jepun, ia telah terjual sebanyak 300,000 unit pada minggu pertama, namun menurun kepada 73,000 unit pada minggu kedua, dan menurun lagi sekitar 12,000 unit pada minggu berikutnya. Corak jualan ini turut berlaku ketika pelancarannya di pasaran antarabangsa, dengan hanya mencatatkan jualan keseluruhan sekitar 1.2 juta unit pada 26 Febuari 2012.
Selepas dua tahun pelancarannya, Sony mengumumkan angka jualan rasmi terakhir untuk peranti ini pada 4 Januari 2013, dengan angka sekitar 4 juta unit. Namun mengikut analisis, ia telah terjual kira-kira 16 juta unit sepanjang PS Vita ini dikeluarkan.
Akhirnya pada 1 Mac 2019, PS Vita telah ditamatkan pengeluarannya secara global. Sony turut mengumumkan katrij sistem permainan ini juga bakal ditamatkan pada 31 Mac 2019. Bagi yang melanggan PS Plus, pengguna PS Vita tidak akan lagi menerima sebarang permainan percuma selepas 6 Mac 2019.
Penamatan sistem permainan ini telah dijangka akan berlaku lebih awal sejak ia kurang mendapat sambutan daripada para pengguna dan pembangun permainan.
Angka jualan PS Vita sebenarnya agak mengecewakan apabila dibandingkan dengan pesaingnya iaitu Nintendo 3DS. Angka jualan sistem permainan ini sebenarnya berpadanan dengan angka jualan permainan terbanyak untuk 3DS, iaitu Mario Kart 7 dengan mencatatkan jualan sebanyak 16.76 juta unit. Mengikut perangkaan statistik yang dikeluarkan oleh Nintendo, 3DS telah terjual melebihi 71.99 juta unit mengikut data yang diumumkan pada 31 Disember 2017.
Kebangkitan telefon pintar dipersalahkan?
PS Vita dan Nintendo 3DS hidup pada zaman yang amat kompetitif iaitu era kebangkitan telefon pintar. Telefon pintar pada saat ini dilihat semakin berkuasa, dengan membolehkan pengguna memainkan permainan bergrafik intensif padanya. Permainan yang ditawarkan juga mudah diperolehi dan apa yang menarik lagi, kebanyakannya ditawarkan secara percuma.
Ada yang mengatakan PS Vita gagal kerana ia mempunyai pesaingan yang hebat daripada kebangkitan telefon pintar ini. Tetapi apabila melihat jualan Nintendo 3DS, Nintendo telah berjaya untuk menyangkal dakwaan ini melalui jualan sebanyak 71.99 juta unit. Walaupun jualan 3DS tidak lah sebanyak jualan Nintendo DS (yang terjual sebanyak 154.02 juta unit), kebangkitan telefon pintar ini masih tidak mampu menghalang pengguna untuk menikmati sejumlah permainan ekslusif pada 3DS.
Apa yang menarik lagi, Nintendo Switch yang dilancarkan pada Mac 2017 (dan dijual pada harga yang lebih mahal), telah berjaya dikeluarkan sebanyak 32.27 juta unit mengikut data yang dikeluarkan pada 31 Disember 2018. Tahun 2017 boleh dikatakan antara zaman kemuncak telefon pintar, yang mana kebanyakannya sudah mempunyai spesifikasi yang tinggi untuk menggalas permainan berkualiti tinggi. Dengan kehadiran internet yang lebih pantas dan stabil pada telefon pintar, pengguna kini dapat memainkan permainan konsol seperti Fornite tanpa perlu lagi membeli sebarang pembelian konsol tambahan. Tetapi sekali lagi, Nintendo masih berjaya menangkis cabaran ini.
Gagal kerana kurang permainan?
Konsol dan sistem permainan Nintendo berjaya dijual lebih laris kerana ia mempunyai pelbagai permainan eksklusif yang menyeronokkan. Walaupun Nintendo Switch dikeluarkan pada era kemuncak telefon pintar, ia masih berjaya mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya membeli atas faktor penawaran permainan ini. Ada yang membelinya kerana ingin memainkan “The Legend of Zelda: Breath of The Wild”, ada yang mendapatkannya kerana “Pokémon: Let’s Go, Pikachu!”, dan mungkin ada memilikinya untuk menikmati “Super Smash Bros.”.
PS Vita juga hadir dengan sejumlah permainan ekslusif yang menarik seperti “Persona 4 Golden”, “Uncharted: Golden Abyss”, “Killzone: Mercenary”, dan pelbagai lagi dengan grafik permainan yang jauh lebih baik berbanding Nintendo 3DS. Namun penawaran permainan eksklusif yang menyeronokkan ini dilihat tidak mampu bersaing dengan “hype” permainan yang hadir pada sistem permainan Nintendo. Apabila permainan Pokémon, Zelda, atau Super Mario baru dikeluarkan, “hype” yang ditunjukkan lebih tinggi sekaligus memberi impak yang positif kepada pemasaran permainan tersebut.
Peminat jenis permainan di PS Vita juga dilihat tidak seramai apabila dibandingkan dengan peminat permainan eksklusif Nintendo. Mungkin disebabkan ramai pengguna membesar dengan siri permainan untuk Nintendo ini, membuatkannya ia lebih dikenali umum walaupun pengguna tersebut bukanlah seorang pemain permainan video yang tegar.
Kurang diberi penekanan oleh Sony?
Kekurangan permainan eksklusif yang menyeronokkan ini didorang daripada tindakan oleh Sony sendiri apabila mereka kurang memberi penekanan kepada PS Vita. Apabila ia kurang diberi perhatian, para pembangun sudah tidak lagi ingin membangunkan permainan baru atas kekurangan bilangan pengguna. Selepas beberapa tahun pengenalan PS Vita, ia tidak begitu dipasarkan secara agresif sekaligus membuatkan orang ramai kurang menyedari dengan kehadiran sistem permainan ini.
Perkara ini diperkuatkan ketika menjelang akhir 2013 iaitu pada jangka masa PlayStation 4 dilancarkan. Pihak Sony memberi komen bahawa hanya akan terdapat sedikit sahaja permainan “first party” akan hadir untuk PS Vita. Pada Julai 2014, mereka sekali lagi menekankan bahawa PS Vita tidak lagi menjalankan permainan Vita semata-mata. Mereka menambah lagi, PS Vita kini ditempatkan untuk menggalas pelbagai kegunaan, seperti kebolehan Remote Play untuk PS4 dan menjalankan permainan PS3 melalui PS Now.
Pada September 2015, Sony mengatakan mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkan peranti selepas PS Vita. Antara komen yang diberikan, situasi yang ada pada sekarang ini tidak begitu baik (untuk mewujudkan peranti selepas Vita) kerana ia dikuasai oleh pasaran permainan telefon pintar yang besar.
Sony pernah menggalakkan permainan PS Vita dibangunkan dengan lebih lagi apabila mereka melancarkan PlayStation TV pada September 2013. Ia merupakan sebuah alat yang menyerupai konsol untuk membolehkan pengguna memainkan permainan PS Vita pada televisyen. Ia boleh dihubungkan ke DualShock 3 atau DualShock 4 selain membolehkannya menikmati fungsi seperti Remote Play dan PS Now seperti di PS Vita. Namun hayat alat ini tidak berpanjangan kerana ia ditamatkan pada penghujung 2015.
Harga kad PlayStation Vita yang mahal
Antara alasan yang sering dikaitkan dengan kegagalan PS Vita adalah dari segi harga jualan PlayStation Vita yang mahal. Kad ini hanya digunakan pada PS Vita sekaligus mengurangkan bilangan penggunaan kad ini. Seperti peralatan PC, harga sesuatu alatan yang kurang penggunanya akan menjadi mahal kerana ia kurang mendapat permintaan. Ia tidak seperti PSP kerana ia menggunakan MemoryStick Duo iaitu kad yang banyak digunakan pada peranti hasilan Sony seperti kamera dan telefon.
Ketika PS Vita dilancarkan pada tahun 2011, harga kad PS Vita dengan 8GB ialah RM99 diikuti storan 16GB yang dijual pada harga RM189. Sekiranya anda ingin mendapatkan storan tertinggi 32GB, ia telah ditawarkan pada RM309 ketika tahun 2011. Namun apabila dibandingkan pada saat ini, harga kad PS Vita 16GB ialah RM146, manakala kad dengan storan 32GB telah ditawarkan pada harga RM251. Bagi kad PS Vita dengan storan 64GB, ia telah dijual pada harga RM377.
Harga jualan kad PS Vita ini boleh dikatakan sangat mahal kerana kad mikroSD telah menunjukkan penurunan harga yang ketara. Dengan harga serendah RM139, anda kini boleh mendapatkan sebuah kad mikroSD dengan storan 128GB. Sekiranya bajet hanya di bawah RM100 sahaja, anda masih boleh mendapatkan kad 64GB pada harga sekitar RM60 sewaktu artikel ini ditulis.
Kecanggihan perkakasan menyumbang kejatuhan PS Vita?
Satu sebab yang mungkin dilihat agak pelik untuk dipersalahkan, namun mungkin turut menyumbang kepada kegagalan PS Vita adalah kecanggihan perkakasan yang hadir pada sistem permainan ini. Dengan penawaran grafik yang tinggi, ia sememangnya memberi manfaat kepada pengguna, namun ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kos pembangun permainan. Apabila dibandingkan dengan Nintendo 3DS, sumber grafik yang digunakan adalah lebih rendah sekaligus membolehkan permainan dihasilkan pada kos yang lebih rendah. Apabila kos pembangunan tinggi, pembangun akan ragu-ragu untuk menghasilkan permainan baru, lebih-lebih lagi apabila bilangan pengguna di PS Vita tidak begitu ramai.
Rumusan
PS Vita adalah sebuah sistem permainan yang baik dan mempunyai banyak pontensi untuk menjadikannya ia berjaya. Perkakasannya dilihat mampu digunakan berbilang tahun, mempunyai sistem penyambungan yang lengkap, dan hadir dengan ketahanan bateri yang baik untuk menggalas permainan bergrafik tinggi. Ia juga menyokong kebolehan “backward compatibility” untuk membolehkannya memainkan permainan retro pada PS Vita ini.
Cuma terdapat beberapa perkara yang membuatkan sistem permainan ini terus menurun permintaannya. Antara perkara yang terkesan adalah seperti harga kad PS Vita yang mahal, membuatkan pengguna lebih berpihak kepada alternatif yang lain seperti Nintendo 3DS. Sepanjang hayatnya juga, PS Vita kurang diberi penekanan daripada Sony dan lebih ditempatkan sebagai “peranti yang digandingkan” kepada PS4. Apa yang memberi kesan lagi, PS Vita dilihat kurang mempunyai permainan eksklusif yang menyeronokkan, sekaligus ia kurang menarik perhatian pengguna untuk memilikinya.