Opera sebelum ini telah hadir dengan kemaskini Opera untuk Android yang kini dioptimasikan untuk pengurusan kriptowang. Setelah empat bulan dilancarkan pada platform tersebut, fungsi ini akhirnya akan tiba di iOS melalui aplikasi Opera Touch.
Melalui fungsi ini, ia membolehkan pengguna melayari decentralized web dan berinteraksi dengan aplikasi pada rangkaian Ethereum. Ia juga kini dilengkapi dengan dompet kriptowang, bagi membolehkan pengguna memantau dan menguruskan kewangan kriptowang melaluinya.
Langkah ini telah membuatkan Opera antara pembangun pelayar web yang awal dalam mengintegrasikan fungsi kriptowang ini. Sebelum ini, mereka juga telah mengumumkan fungsi ini akan hadir pada versi desktop, namun versi akhir untuknya masih belum diumumkan secara rasmi.
Dengan pengenalan fungsi ini pada pelayar web Opera Touch untuk iOS secara terbina, Opera berharap dapat meningkatkan lagi pertumbuhan kriptowang ini terutamanya dalam kalangan pengguna peranti mudah-alih. Dengan pertumbuhan mudah-alih yang lebih aktif, usaha ini mungkin akan merancakkan lagi transaksi kriptowang yang kini boleh dilakukan terus pada pelayar web.
Bagi anda berminat untuk mencuba fungsi ini, anda boleh mendaftarnya melalui halaman rasmi Opera Touch iOS untuk mengikuti program “Early Access” aplikasi ini.