Fungsi Smart Compose telah diperkenalkan oleh Google bagi memudahkan pengguna membuat balasan e-mel di Gmail. Ia telah diumumkan pada Oktober tahun lalu dan hanya ditawarkan pada peranti Google Pixel 3 sahaja. Namun ia berubah bermula hari ini kerana fungsi ini sedia digunakan oleh kesemua pengguna Android, walaupun anda tidak memiliki sebarang peranti Google Pixel 3.
Smart Compose membolehkan anda mendapatkan saranan pintar daripada Google ketika mengarang email. Seperti contoh, ketika anda mula menaip perkataan “I hope y….“, aplikasi ini akan menyarankan barisan ayat yang sesuai seperti “I hope you’re doing well.“. Sekiranya anda menyukai saranan tersebut, anda hanya perlu menyeret jari ke kanan untuk menggunakan ayat ini di dalam penulisan e-mel anda.
Fungsi ini dilihat sangat membantu pengguna lebih-lebih lagi dalam memilih perkataan dan ayat yang sesuai. Ia sangat menjimatkan masa terutama ketika anda perlu membuat balasan yang pantas ketika waktu sibuk. Namun sekiranya anda tidak menyukai fungsi ini, ia masih ditutup melalui halaman tetapan pada aplikasi Gmail.
Fungsi Smart Reply ini akan diberikan secara berperingkat melalui server-side update, bermakna anda perlu menunggu ia tiba ke peranti anda. Bagi membolehkan anda mendapatkannya dengan lebih awal, pastikan aplikasi Gmail anda dalam keadaan yang sudah dikemaskini.