Kerajaan Negeri Sabah Dijangka Akan Memperkenalkan Sistem Pembayaran Nirtunai Yang Baru

Kerajaan Negeri Sabah Dijangka Akan Memperkenalkan Sistem Pembayaran Nirtunai Yang Baru

Diterbitkan pada Mac 7, 2019 oleh .

Pembayaran nirtunai semakin mendapat tempat hari ini atas pertumbuhan penggunaan peranti mudah-alih yang drastik. Dalam usaha untuk menggalakkan nirtunai ini, Kerajaan Negeri Sabah bakal memperkenalkan kaedah pembayaran nirtunai yang baru.

Sistem pembayaran ini bakal dikenali sebagai “Sabah Easy Pay” yang mana ia bakal ditawarkan dalam bentuk aplikasi mudah-alih. Apa yang menarik sekali, sistem pembayaran ini bakal dilengkapi dengan kemudahan untuk membayar cukai, bil air, bil elektrik, dan pelbagai perkhidmatan yang lain.

Ketua Menteri Sabah berkata, kaedah ini diwujudkan bagi membolehkan proses pembayaran dapat dilakukan dalam kos yang lebih rendah selain menjimatkan masa ketika transaksi dilakukan. Beliau menambah lagi, sistem pembayaran ini dikatakan akan beroperasi melalui Alipay.

Alipay merupakan platform pembayaran atas talian yang popular dan mempunyai penggunaan yang meluas dalam kalangan pelancong daripada China. Ia kini telah sedia digunakan menerusi beberapa kedai rangkaian popular seperti 7 Eleven, myNEWS, dan beberapa buah hotel popular di Malaysia.

Dengan kehadiran sistem pembayaran ini, Kerajaan Negeri tidak perlu lagi bergantung kepada kaedah pembayaran yang lama selain memudahkan pengguna dalam membuat pembayaran setempat.

Bagi yang menantikannya, Kerajaan Negeri Sabah mensasarkan sistem pembayaran ini akan diperkenalkan dalam tempoh masa sebulan atau dua bulan pada akan datang.

Sabah Easy Pay ialah sistem nirtunai kedua di Malaysia yang dibangunkan oleh kerajaan negeri. Sarawak Pay ialah yang pertama dilancarkan pada November 2017. Sementara itu beberapa majlis perbandaran seperti Cyberjaya juga mempunyai sistem nirtunai TaPay mereka sendiri.


TIPS & ULASAN