Cari @ Amanz

Televsiyen di rumah mempunyai satu kekurangan yang sudah wujud sejak televisyen generasi pertama dicipta oleh J.L Baird. Ia masih memerlukan kabel kuasa, kabel sambungan AV dan kabel sambungan audio. Ini membuatkan proses pemasangan TV ke dinding kurang cantik kerana wayar yang berselirat. Samsung menawarkan sistem One Connect pada televisyen QLED mereka yang menggantikan kabel dengan satu kabel ultra-nipis.

Di masa hadapan sistem ini juga akan digantikan pula oleh sistem nirwayar sebenar. Samsung telah mempatenkan rekaan televisyen yang langsung tidak memerlukan sebarang sambungan berwayar. Paten yang diterbitkan pada 28 Februari lalu menunjukkan sistem pemancar kuasa yang mengaruh sistem gegelung di dalam tubuh televisyen. Turut dapat dilihat pad ilustrasi paten ialah pembesar suara terbina pada pemancar kuasa.

Sistem pemancaran kuasa dari jarah jauh ialah teknologi yang sudah wujud lebih sedekad tetapi sehingga kini masih belum digunakan secara komersial. Haier pernah menghasilkan prototaip televisyen nirwayar tujuh tahun yang lalu tetapi tidak dijual kepada umum. Di Korea Selatan, KAIST telah menghasilkan pemancar kuasa yang boleh memberikan “kuasa dari udara” untuk televisyen dan 40 telefon pintar serentak dari jarak 5 meter.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd