Facebook Dan Instagram Akan Berusaha Menyekat Penyebaran Berita Palsu Mengenai Vaksin

Facebook Dan Instagram Akan Berusaha Menyekat Penyebaran Berita Palsu Mengenai Vaksin

Diterbitkan pada Mac 8, 2019 oleh .

Penyebaran berita palsu mengenai vaksin MMR yang menyebabkan autisma semakin meningkat kebelakangan ini. Terdapat ibu-bapa yang tidak bertanggungjawab sanggup menanggung risiko anak-anak mereka mati akibat penyakit yang boleh dielakkan.

Facebook merupakan diantara platform-platform dimana berita palsu ini banyak disebarkan, dan syarikat tersebut baru-baru ini membuat pengumuman bahawa mereka akan mengurangkan penyebaran berita-berita tersebut secara aktif.

Platform media sosial tersebut akan menurunkan kedudukan laman dan kumpulan Facebook yang menyebarkan dakyah anti-vaksin, dan tidak akan menunjukkan sebarang ramalan jika dicari di laman tersebut.

Selain daripada itu, mereka juga akan menurunkan semua iklan yang mempromosikan pembohongan mengenai vaksin, dan akan cuba untuk mempromosikan fakta mengenai vaksin juga.

Dalam pada itu, platform Instagram juga tidak akan mempromosikan kandungan tersebut pada laman Explore dan tanda pagar mereka.

Akan tetapi, usaha Facebook untuk mengekang berita palsu mengenai vaksin ini akan hanya terhad pada laman dan kumpulan Facebook sahaja, kerana ia tidak mahu dilihat menyekat kebebasan bersuara individu di laman sosial media tersebut.


TIPS & ULASAN