Cari @ Amanz

Razer Phone 2
Skrin 5.72” IPS LCD, 16:9
2560 x 1440, 513 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4 x Kryo 380 Gold 2.8 GHz
4 x Kryo 380 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 630
Memori 8GB RAM LPDDR4X
Storan 64GB + slot mikroSD
Kamera Utama 12MP f/1.75 + 12MP
4K@30fps
Kamera Hadapan 8MP f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Sistem Android 8.1 Oreo
Bateri 4000 mAh, Quick Charge 4+
Dimensi 158.5 x 79 x 8.5 mm
Berat & Ketebalan 220g, 8.5mm
Tempoh Ujian
Peranti
2 minggu

Razer sebelum ini telah hadir dengan Razer Phone yang merupakan telefon pintar sulung mereka dengan fokus kepada fungsi permainan. Kewujudan Razer Phone ini dijayakan selepas Razer mengambil-alih Nextbit pada awal 2017, iaitu sebuah pengeluar peranti yang memfokuskan kepada fungsi berasaskan awan. Walaupun Nextbit masih baru dalam industri penghasilan peranti, mereka mempunyai portfolio yang menarik seperti Nextbit Robin, sekaligus memberi keyakinan kepada Razer untuk mengambil-alih syarikat ini.

Razer Phone telah berjaya menjadi buah mulut orang ramai selepas ia berjaya menawarkan kadar segar semula (refresh rate) skrin 120Hz pada telefon pintar. Ia juga mempunyai pembesar suara yang lantang, melalui kehadiran pembesar suara stereo yang dioptimasikan oleh teknologi Dolby Atmos. Ia juga dilengkapi dengan sistem penyejukkan terbina, bagi membolehkan suhu peranti berada dalam keadaan optimum ketika memainkan permainan.

Selang setahun pengenalan Razer Phone, Razer telah hadir dengan Razer Phone 2 yang membawakan sejumlah penambahbaikan. Ia mempunyai rekaan kaca, kehadiran fungsi wireless charging, ketahanan air IP67, bersama penyertaan lampu Chroma. Ia juga dipertingkatkan dengan cip Snapdragon 845, sistem penyejukkan cecair berasaskan vapor chamber, bersama sokongan kamera dengan OIS.

Rekaan

Dari segi rekaannya, ia masih mengekalkan rekaan berpetak seperti Razer Phone generasi pertama. Memegang peranti ini terasa sedikit kurang selesa, kerana binaannya sedikit tajam pada bahagian sisi. Berbeza dengan Razer Phone, binaannya hadir dalam bentuk kaca bagi memberi laluan kepada perletakkan fungsi Qi Wireless Charging.

Apa yang menjadi perhatian pada versi kali ini, ia juga kini dilengkapi dengan lampu Chroma, dengan kebolehan menukar warna dan kesan pencahayaan pada logo berlampu ini. Anda boleh mengaktifkan lampu ini secara berterusan, ketika menggunakan peranti, atau menyalakannya ketika menerima notifikasi sahaja. Anda juga boleh menutup lampu ini secara sepenuhnya bagi menjimatkan lagi penggunaan bateri.

Pada bahagian kanan peranti, ia menempatkan pengimbas cap yang disatukan dengan butang kuasa, yang mana anda perlu menekannya dahulu untuk menggunakannya. Prestasi imbasannya boleh dikatakan berada tahap yang sederhana dan tidak sepantas pengimbas cap jari Pocophone F1. Di bahagian kiri pula, ia menempatkan slot nano-sim dan slot kad mikroSD, bersama butang untuk kawalan pembesar suara yang sedikit timbul.

Dari segi sambungan, ia membawakan sambungan USB-C di bahagian bawah, namun tidak menyertakan sebarang bicu audio pada mana-mana bahagian. Namu pihak Razer membekalkan penyesuai USB-C ke bicu audio 3.5mm bagi memudahkan anda menyambung ke aksesori audio pilihan anda. Apa yang menarik, penyesuai ini turut disertakan dengan amplifier yang disahkan THX untuk memberi kelantangan bunyi yang imersif.

Razer Phone 2 juga kini telah menyertakan fungsi ketahanan IP67 yang membolehkan peranti ini dilindungi daripada kemasukan habuk dan air. Seperti Razer Phone sebelum ini, ia masih dilengkapi dengan fungsi pembesar suara stereo yang menawarkan kualiti yang sangat lantang untuk kegunaan multimedia. Ia turut dilengkapi dengan Dolby Atmos, yang memberikan bunyi yang imersif seolah-olah ia berada berhampiran dengan telinga anda.

Cuma satu sahaja, rekaan pembesar suara peranti ini masih mudah memerangkap habuk, seperti mana yang berlaku pada Razer Phone asal. Lubang-lubang kecil pada pembesar suara ini dilihat sangat banyak, jadi kekotoran ini akan dapat dilihat dengan jelas. Untuk membersihkannya, anda perlu menggunakan jarum untuk mengeluarkan butir-butir kecil habuk ini, yang mana ia kelihatan agak sedikit melecehkan.

Skrin

Untuk rekaan hadapan, ia membawakan paparan IGZO IPS LCD sebesar 5.72-inci, dengan kadar segar semula setinggi 120Hz. Dengan penggunaan kadar segar semula yang tinggi, ia membolehkan skrin memaparkan pergerakan dan animasi dengan lebih lancar, berbanding skrin 60Hz pada peranti biasa. Setiap pergerakan di dalam skrin akan jauh lebih lancar, sekaligus membuatkan anda tidak rasa ingin berpatah balik ke paparan 60Hz pada telefon biasa.

Paparan 120Hz ini menyokong sejumlah besar aplikasi di dalam Android, sekaligus membenarkan anda menikmati animasi dan paparan yang amat lancar. Cuma untuk permainan, tidak banyak yang mampu untuk memberi kelancaran 120 fps ini, walaupun ia termasuk dalam senarai permainan yang menyokong skrin UltraMotion pada Razer Phone ini. Seperti contoh, permainan seperti Gear.Club hanya memaparkan bingkai sekitar 65 fps ketika in-game, namun Real Racing 3, Hill Climb Racing 2, dan Dead Trigger masih mampu memberi kadar bingkai 120fps.

Seperti Razer Phone sebelum ini, ia membolehkan anda memilih tiga kadar segar semula berbeza iaitu 60, 90, dan 120Hz untuk dijadikan sebagai kadar segar semula utama. Sekiranya anda mahukan penggunaan yang seimbang, menetapkannya kepada 90Hz dapat menijmatkan sedikit penggunaan bateri. Atau, anda juga boleh menetapkan kadar segar semula ini mengikut permainan, dengan 5 tetapan kadar segar semula yang boleh dipilih oleh pengguna.

Sistem

Razer Phone 2 telah dijana dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo bersama tampilan yang hampir ke arah Android asli. Di dalamnya kelihatan sangat kemas, dengan hanya penyertaan sejumlah kecil aplikasi daripada Razer. Apa yang menarik, pelancar utamanya menggunakan Nova Launcher sekaligus memudahkan anda membuat kustomasi pada paparan utama.

Melalui Nova Launcher, ia membenarkan anda membuat sejumlah kustomasi seperti ikon, gesture, dan animasi melalui fungsi yang ditawarkan daripada versi Nova Launcher Prime. Anda juga boleh memilih sama ada ingin meletakkan talam aplikasi, atau membiarkan kesemua aplikasi ditempatkan pada paparan utama. Ia juga menyokong sokongan tema, yang membolehkan anda memasang sejumlah tema menarik melalui aplikasi Theme Store secara percuma.

Razer turut menawarkan aplikasi Cortex untuk membolehkan pengguna mengawal kelajuan CPU, resolusi, dan sokongan anti-aliasing bagi sesebuah permainan. Seperti disebutkan sebelum ini, anda juga boleh menetapkan kadar segar semula mengikut sesuatu permainan, yang mana dilihat berguna sekiranya anda menetapkan 60Hz sebagai kadar segar semula utama.

Prestasi

Dari sudut prestasi, ia membawakan cip berkuasa daripada tahun 2018, menerusi cip Qualcomm Snapdragon 845 bersama memori 8GB RAM LPDDR4X. Cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz (teras berkuasa) dan 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz (teras efisien), selain dijana dengan GPU Adreno 630. Apa yang menarik, ia juga kini membawa sistem penyejukan yang lebih baik iaitu dengan penggunaan vapor chamber berbanding heat pipe pada Razer Phone generasi pertama.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini sememangnya mampu memberi prestasi harian yang sangat pantas, bersama pengalaman pertukaran aplikasi yang cemerlang. Untuk prestasi permainan, permainan seperti PUBG Mobile dan Fornite dapat dimainkan pada tetapan tinggi, dengan memberi bacaan frame rate yang lancar dan konsisten. Haba yang dikeluarkan juga dirasai tidak begitu panas, yang mana dibantu melalui sistem penyejukkan berasaskan vapor chamber.

Kamera

Untuk keupayaan kamera, Razer Phone 2 telah membawakan sistem dwi-kamera yang ditambahbaik, menerusi sensor utama 12MP dengan OIS, bersama sensor kedua 12MP untuk kebolehan zoom optikal. Dengan penggunaan sistem OIS, ia dapat mengurangkan kesan gegaran ketika mengambil gambar dan membuat rakaman video. Ia juga dilengkapi dengan LED flash bersama pencahayaan dwi-tona warna dalam memberi hasilan yang lebih neutral ketika ia digunakan.

Untuk hasilannya, ia membawa peningkatkan yang drastik berbanding Razer Phone sebelum ini, terutama dinilai dari segi keperincian imej. Ia kini memberi hasil penggambaran yang lebih tajam dan stabil yang mana dibantu melalui penggunaan OIS secara terbina. Warna juga kini dilihat lebih menarik, selain mampu menawarkan keupayaan julat dinamik (dynamic range) yang baik untuk sesebuah peranti berasaskan permainan.

Kamera hadapannya masih dijana dengan sensor 8MP f/2.0 seperti yang ditawarkan pada Razer Phone generasi pertama. Ia juga dilihat telah menerima penambahbaikan, yang kini mampu memberi hasilan yang lebih terang disamping memberi keperincian swafoto yang baik. Apabila anda menggunakan fungsi Portrait Mode, kesan kaburnya kelihatan sedikit kurang sempurna apabila diteliti pada bahagian sisi subjek.

Dari segi fungsi, Razer Phone 2 mampu membuat rakaman setinggi 4K@30fps namun penstabilan imejnya dilihat tidak begitu baik dalam mengurangkan kesan gegaran. Beberapa fungsi lain turut disokong pada peranti ini seperti mod manual, Portrait Mode, dan Panorama sebagai fungsi tambahan ketika melakukan penggambaran. Ia juga menyajikan fungsi Beauty yang membolehkan anda memilih sejumlah aras kecantikan untuk dipadankan pada wajah.

Bateri

Razer Phone 2 masih menawarkan kapasiti bateri yang sama seperti Razer Phone sebelum ini, dengan penawaran kapasiti 4000 mAh. Dengan kapasiti 4000 mAh dan padanan cip 10nm ini, ia mampu mencapai Screen-on-Time (SoT) sekitar 4 jam 46 minit untuk tetapan 90Hz dan 6 jam 21 minit untuk tetapan 60Hz. Namun sekiranya anda menetapkan kadar segar semula 120Hz, ia hanya mencatatkan masa SoT sekitar 2-4 jam mengikut kepada jenis penggunaan peranti anda.

Dari segi pengecasannya pula, ia menyokong Quick Charge 4+, yang membolehkan peranti ini dicas sekitar 1 jam 53 minit dari 0 hingga 100%. Apa yang menarik, Razer telah menyertakan pengecas Quick Charge 4+ ini secara tersedia, sekaligus tidak memerlukan anda membeli pengecas baru secara berasingan. Ia juga kini dilengkapi dengan sokongan Qi Wireless Charging, yang membolehkan pengguna mengecas peranti secara nirwayar di atas pad pengecasan.

Rumusan

Razer Phone 2 membawa sejumlah penambahbaikan berbanding Razer Phone asal, membuatkannya sebagai sebuah peranti yang kukuh dari segi penawarannya. Ia dijana dengan cip yang pantas, mampu memberi penggambaran yang baik, selain mengekalkan kapasiti bateri yang besar iaitu 4000 mAh. Sebagai bonus, ia juga telah menawarkan fungsi Qi Wireless Charging, sokongan IP67, dan lampu Chroma bagi memberi daya tarikan kepada pemilikan peranti ini.

Cuma kelemahannya, rekaannya agak sedikit tajam, selain pembesar suaranya kelihatan mudah memerangkap habuk. Ia juga tidak ditawarkan dengan sambungan bicu audio, dengan memerlukan pengguna bergantung kepada penggunaan penyesuai USB-C ke bicu audio 3.5mm. Saya juga mengharapkan ia hadir dengan slot dwi-sim dan mempunyai storan UFS yang lebih besar.

Pro
  • Mempunyai paparan dengan kadar segar semula setinggi 120Hz.
  • Hadir dengan lampu Chroma yang unik di bahagian belakang peranti.
  • Memberi prestasi yang sangat pantas untuk kegunaan harian dan permainan.
  • Mempunyai sistem penyejukkan berasaskan vapor chamber secara terbina.
  • Hadir dengan tampilan seumpama Android asli bersama pelancar Nova Launcher.
  • Keupayaan kamera utama mampu memberi hasil penggambaran yang baik
  • Menawarkan ketahanan bateri yang sangat memuaskan dengan kapasiti 4000 mAh.
  • Dibekalkan dengan pengecasan pantas Quick Charge 4+.
  • Mempunyai slot kad mikroSD.
  • Menyokong pengecasan tanpa wayar.
Kontra
  • Kurang memberi keselesaan di tangan.
  • Rekaan pembesar suara mudah memerangkap habuk.
  • Tidak mempunyai bicu audio 3.5mm secara terbina.
  • Tiada slot sim.
  • Hanya terdapat satu variasi storan iaitu 64GB.


Dengan harga RM2749, peranti ini sangat disyorkan bagi pengguna yang mahukan sebuah peranti permainan yang seimbang. Ia mempunyai hampir kesemua fungsi peranti berkuasa hari ini, sekaligus membolehkan pengguna menikmati sejumlah fungsi moden di dalam peranti ini. Sekiranya anda mencari peranti dengan skrin 120Hz, kelantangan pembesar suara stereo yang kuat, dan mempunyai spesifikasi yang hebat, Razer Phone 2 adalah peranti yang direka untuk anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd