Carian
Kuo : Apple Akan Melancarkan Kaca Mata Realiti-Terimbuh Pada 2020
March 8, 2019 Aman

Sejak beberapa tahun lepas, kita telah mendengar spekulasi mengatakan Apple bakal hadir dengan kaca mata realiti-terimbuh tidak lama lagi. Selari dengannya, kini menurut penganalisa Apple terkemuka, Ming-Chi Kuo menyasarkan Apple akan hadir dengan kaca mata realiti-terimbuh (AR) pada 2020 kelak.

Kaca mata berkenaan dijangka akan beroperasi dengan berhubung ke iPhone untuk tujuan pemprosesan – sekaligus memperlihatkan ia bakal ditawarkan sebagai sebuah aksesori untuk iPhone.

Apple sendiri sedia melabur dalam arena realiti-terimbuh secara aktif sejak setahun dua kebelakangan ini. Malah, pada setiap pengenalan iPhone, mereka turut menekankan penggunaannya untuk menikmati kandungan realiti-terimbuh. Dengan pengenalan kaca mata tersendiri, ia akan memudahkan lagi pengguna menikmati kandungan berbanding perlu melihat melalui skrin telefon sepanjang masa.

Dengan membuatkan ia berhubung ke iPhone untuk beroperasi, ia sekaligus membolehkan kaca mata berkenaan tidak perlu mempunyai komponen pemprosesan yang banyak, sekaligus akan membolehkan saiznya lebih kompak. Apple dijangka memulakan pengeluaran kaca mata realiti-terimbuh ini seawal penghujung 2019 ini, atau pada 2020 kelak.

Bercakap mengenai kaca mata seumpamanya, Google sebelum ini pernah hadir dengan Google Glass. Tetapi ia boleh dikatakan terlalu awal ketika itu, dan lebih memfokuskan kepada perusahaan berbanding pengguna biasa.

Mungkin dengan penyertaan pihak Apple dalam arena ini, ia akan membuatkan lebih ramai pengeluar lain turut memfokuskan pengeluaran kaca mata realiti-terimbuh, sekaligus menambah lagi kandungan memfokuskan realiti-terimbuh berbanding pada hari ini.

Komen