Qualcomm Membawakan Sokongan Kamera Sehingga 192-Megapixel Pada Enam Cip Snapdragon

Qualcomm Membawakan Sokongan Kamera Sehingga 192-Megapixel Pada Enam Cip Snapdragon

Diterbitkan pada Mac 10, 2019 oleh .

Tahun 2019 ialah tahun dimana kita akhirnya melihat peranti yang mempunyai sehingga lima kamera utama pada bahagian belakang seperti yang ditemui pada Nokia 9. Malahan Galaxy S10+ mempunyai lima kamera secara keseluruhan. Namun begitu pemproses yang digunakan ketika dilancarkan seperti Snapdragon 855 hanya menyokong sehingga 32-Megapixel sahaja.

Qualcomm semalam telah mengemaskini spesifikasi sensor kamera untuk cip Snapdragon 855, Snapdragon 845, Snapdragon 710, Snapdragon 675, Snapdragon 670 dan Snapdragon 660. Kesemua cip kini menyokong sensor sehingga 192-Megapixel. Untuk merakam gambar pada resolusi yang amat tinggi ini, sistem Multi Frame Noise Reduction (MFNR) dan Zero Shuttle Lag (ZSL) tidak boleh digunakan.

Dalam bahasa kurang teknikal, untuk merakam gambar 192-MP, terdapat sela masa selepas butang kamera ditekan dan gambar tidak akan menjalani proses pembuangan hingar yang selama ini disokong pada peranti mudah alih.

Kemampuan cip untuk menyokong sistem satu kamera juga telah dipertingkat dari 32-MP ke 48-MP manakala sokongan dwi-kamera meningkat ke 22-MP dari 20-MP sekiranya MFNR serta ZSL digunakan.

Dengan wujudnya sensor 48-MP keluaran Sony dan Samsung tahun lalu, Qualcomm terpanggil untuk mengemaskini kemampuan cip keluaran mereka dan mengurangkan kekeliruan di kalangan pengguna.


TIPS & ULASAN