Cari @ Amanz

Apple telah melancarkan iPad generasi ke-5 pada tahun 2017 sebagai iPad dengan penawaran paling asas. Ia kemudiannya ditambahbaik pada tahun 2018 dengan penyertaan cip Apple A10 Fusion bersama sokongan Apple Pencil. Kini, beberapa maklumat telah dikongsi oleh Mac Otakara bagi memberi gambaran fungsi yang bakal dibawa pada iPad keluaran tahun ini.

iPad generasi ke-7 (atau iPad 2019) dikatakan akan meneruskan penawaran seperti iPad 2018, melalui pengekalan fungsi Touch ID dan sambungan bicu audio 3.5mm. Pengekalan kedua-dua fungsi ini bertentangan dengan iPad Pro (2018) kerana fungsi Touch ID telah digantikan dengan Face ID, selain tidak lagi menawarkan sebarang sambungan bicu audio.

Beberapa ura-ura juga mengatakan ia bakal hadir dengan skrin 10.2-inci, namun Mac Otakara berkata, info yang dikongsikan oleh beberapa pembekal adalah bercanggah antara satu sama lain. Sebuah pembekal berkata ia akan hadir dengan saiz 10.2-inci, tetapi ada pembekal mengatakan ia akan mengekalkan saiz yang sama seperti sebelum ini.

Apple dijangka akan mengumumkan iPad generasi ke-7 pada 25 Mac ini dengan kemaskini untuk iPad mini. Harga jualannya masih tidak diketahui, namun dijangka akan berada pada harga sekitar iPad (2018) yang kini dijual bermula RM1447.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd