Carian
Ulasan Samsung Galaxy Buds – Fon Telinga Nirwayar Mantap
March 13, 2019 Effi Saharudin

Kami yakin ramai yang belum bersedia untuk hidup di dalam dunia aksesori nirwayar. Tetapi realitinya sejak khir-akhir ini semakin ramai pengeluar berhenti menyertakan bicu audio 3.5mm pada peranti mercu mereka. Alasan yang diberikan ialah bagi memberikan bateri yang berkapasiti lebih tinggi dan kualiti audio yang lebih baik. Secara peribadi kami telah mula berpindah ke dunia nirwayar dua tahun yang lalu kerana pembelian iPhone 7 Plus.

Aksesori-aksesori audio awal yang kami gunakan adalah agak mengecewakan  kerana ketahanan bateri yang kurang memuaskan, sistem tambatan yang leceh, kualiti audio yang kurang memuaskan dan harga yang terlalu tinggi. Serentak dengan pelancaran Galaxy S10 bulan lalu, Galaxy Buds turut telah diumumkan. Ia sebuah fon telinga nirwayar dengan rekaan yang padat dan dilihat sebagai pesaing kepada AirPods. Adakah Galaxy Buds aksesori yang baik dan berbaloi untuk dimiliki? Ini ialah ulasan kami untuk Samsung Galaxy Buds.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Buds
Jenis Fon dalam-telinga
Mikrofon Dua
Bateri 58 mAh pada fon telinga
252 mAh pada pod pengecas
Port pengecas USB-C
Pengecasan nirwayar Ya / Qi
Sistem operasi disokong Android, iOS, MacOS, Windows 10
Sokongan pembantu maya Ya
Pad sesentuh Ya / 2X
Kemampuan kalis air IPX2
Storan Dalaman Tiada
Audio Offline Tiada
Pengimbas nadi Tiada
Harga Jualan  RM 499

Samsung Galaxy Buds terdiri daripada dua fon telinga nirwayar dan satu pod simpanan merangkap pengecas yang bersaiz kecil. Ia menyokong tambatan menggunakan bluetooth 5.0. Ini membolehkan ia menstrim audio menggunakan format A2DP, AVRCP atau HFP. Setiap fon telinga dilengkapi bateri sebesar 58 mAh manakala pod pengecas dilengkapi bateri sebesar 252 mAh.

Pada setiap fon telinga terdapat sebuah mikrofon. Ini membolehkan Galaxy Buds digunakan sebagai kit bebas tangan dan juga mendengar audio persekitaran apabila mod Ambient Sound diaktifkan. Kami akan membincangkan lagi mod Ambient Sound ini beberapa perenggan di bawah.

Sekilas pandang rekaan Galaxy Buds menyamai Gear IconX yang dilancarkan pada tahun 2018. Perbezaan paling ketara ialah Galaxy Buds tidak mempunyai storan terbina yang  membolehkannya memainkan muzik tanpa peranti seperti Gear Icon X. Namun begitu seperti Gear Icon X, GalaxyBuds mempunyai ketahanan kalis percikan IPX2. Ia cukup tahan lasak untuk menangkis peluh sekiranya digunakan ketika aktiviti bersenam misalnya.

Rekaan “sayap” pada fon telinga juga lebih kecil jika dibandingkan dengan Gear IconX. Akhir sekali pengimbas nadi juga tidak disertakan. Dengan kata lain Galaxy Buds ialah fon telinga nirwayar Samsung yang mempunyai sebarang fungsi menjejak kesihatan atau digunakan tanpa tambatan kepada sebuah telefon pintar.

Rekaan

Rekaan seperti kami katakan di atas adalah menyamai Gear IconX tetapi lebih kompak. “Sayap” pada fon telinga yang memastikan fon tersemat pada telinga adalah lebih kecil. Tiga saiz sayap yang diperbuat daripada silikon disertakan dengan setiap pembelian. Jika anda kurang menggemari sayap yang disertakan, terdapat satu dengan rekaan nirsayap yang lebih selesa. Kami secara peribadi merasakan rekaan sayap yang terpasang tidak mendatangkan masalah dan pada masa yang sama memastikan fon telinga melekap dengan kemas.

Keseluruhan tubuh Galaxy Buds diperbuat daripada bahan plastik dengan kemasan yang pusam. Ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Terdapat dua pad sesentuh pada sisi setiap fon telinga. Apabila disentuh pengguna boleh mengawal pemain muzik, melangkau muzik yang didengari atau menyeru pembantu maya pilihan. Permukaan pad sesentuh ini lebih licin jika dibandingkan dengan permukaan tubuh.

Fon telinga ada jenis dalam-telinga (in-ear) sama seperti fon telinga berwayar AKG yang disertakan dengan setiap pembelian peranti Galaxy S sejak tiga tahun yang lalu. Jadi sekiranya anda kurang menggemari fon jenis dalam-telinga, rekaan Galaxy Buds besar kemungkinan bukan untuk anda. Ia membuatkan telinga terasa seperti dikorek sepanjang masa. Berita baiknya ialah kerana fon telinga akan menyumbat salur telinga, Bunyi bising dari luar akan dapat dihalang dari mencemari pendengaran pengguna. Dalam penerbangan pulang dari San Francisco ke Malaysia dua minggu lalu, Galaxy Buds telah kami gunakan sebagai peredam bunyi bising dan ia berfungsi dengan cukup efektif menapis deruman enjin jet walaupun tanpa sistem peredam hingar aktif (active noise cancellation) teribina.

Bahagian fon yang memasuki lubang telinga juga diperbuat daripada bahan silikon. Dua penyumbat tambahan disertakan sekiranya bahan silikon ini terkoyak. Dari apa yang kami lihat, ia juga mengitar semula komponen yang sebelum ini ditemui pada fon telinga berwayar AKG.

Pada bahagian belakang setiap fon telinga terdapat sensor sentuhan. Ia mengesan sekiranya fon telinga masih menyentuh telinga. Bersebelahannya adalah beberapa titik sambungan untuk pengecasan apabila disimpan di dalam pod.

Bercakap mengenai pod, ia juga diperbuat daripada plastik dengan kemasan pusam bagi mengelakkan ia dari mudah menjadi kotor. Terdapat sebuah lampu LED pada bahagian hadapan yang menunjukkan tahap pengecasan. Lampu hijau untuk pengecasan penuh hingga 60%. Lampu kuning dari 59-30% dan merah apabila di bawah tahap 30%.

Pada bahagian belakang terdapat port pengecasan USB-C. Terima kasih kepada Samsung kerana menggunakan port USB-C kerana penggunaan kabel mikroUSB tidak lagi masuk akal pada tahun 2019. Tetapi Samsung hanya menyertakan sebuah kabel USB-C sepanjang 1 meter tanpa kepala pengecas dengan setiap pembelian. Sekiranya anda merasakan pengecasan berwayar adalah kurang menarik, Galaxy Buds boleh dicas secara nirwayar pada pengecas yang menyokong format Qi.  Pada masa yang sama ia turut boleh dicas semula menggunakan mod pengecasan nirwayar di belakang sebuah Galaxy S10 atau Mate 20 Pro.

Galaxy Buds atau Apple Airpods?

Kita tidak boleh lari dari melakukan perbandingan dengan Apple AirPods yang merupakan fon telinga bluetooth yang dominan kini di pasaran. Dari segi kemasan AirPods kelihatan dan terasa jauh lebih premium kerana kemasan yang sama seperti yang ditemui pada industri automotif. Engsel pada pod pengecas AirPods juga terasa lebih teguh. Pod Galaxy Buds yang kami ulas adalah agak longgar. Ia juga lebih sukar dibuka dengan sebelah tangan jika dibandingkan dengan pod AirPods. Ini adalah kerana rekaan pod pengecas Galaxy Buds yang lebih kecil dan tidak memanjang seperti pada AirPods.

Kedua-duanya menyimpan fon telinga secara magnetik. Walaupun diterbalikkan, Galaxy Buds dan AirPods tidak tertanggal dari tempat ia disimpan. Pada waktu yang masa AirPods dijual pada harga RM649 sebuah berbanding RM499 untuk Galaxy Buds.  Fungsi pad sesentuh AirPods juga juga terhad jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan pada Galaxy Buds.

Kami katakan terhad kerana hanya dua sentuhan dwi-tap boleh dipetakan pada AirPods. Hanya terdapat pilihan untuk menyeru Siri, langkau muzik seterusnya, langkau ke muzik sebelumnya dan menjedakan muzik. Pada satu-satu masa hanya dua fungsi sesentuh boleh dipetakan pada sebuah AirPods berbanding lima pada Galaxy Buds.

AirPods amat bergantung sepenuhnya kepada kawalan suara Siri untuk melakukan fungsi yang sama pada Galaxy Buds. Memang benar tahap kelantangan audio, melangkau muzik dan sebagainya boleh dilakukan pada AirPods tetapi ia memerlukan anda memberikan arahan suara. Dari pengalaman peribadi, Siri kerap tidak memahami arahan yang diberikan. Apabila berada di luar pula sumber audio persekitaran boleh mencelarukan Siri. Akhir sekali melakukan arahan suara ketika di tempat awam atau pejabat adalah sesuatu yang amat canggung.

Maka tidak mengejutkan antara penambahbaikan yang diminta pada AirPods 2 ialah sistem pad sesentuh yang lebih pelbagai agar ia lebih setara dengan yang wujud pada Jabra dan Galaxy Buds (atau Galaxy IconX 2018 yang mempunyai sokongan pad sesentuh yang lebih baik berbanding Galaxy Buds)

Kualiti Bunyi & Penggunaan

Kami agak terkejut dengan kualiti audio Galaxy Buds kerana pengalaman peribadi mengulas Gear IconX generasi pertama yang mempunyai kemampuan audio yang mengecewakan. Walaupun bersaiz kecil, audio yang dihasilkan terutamanya bass adalah bertenaga. Treble pula rangup terutamanya jika mendengar lagu akustik atau klasikal. Jika ada kekurangan ia terletak pada soundstage yang sedikit klaustrofobia/mampat kerana ia sebuah fon dalam-telinga. Jika anda sudah biasa dengan fon telinga terbuka atau fon kepala open back, soundstage yang agak mampat ini mungkin kurang memuaskan untuk anda

Izinkan kami membezakan kualiti audio Galaxy Buds dengan fon telinga berwayar AKG yang disertakan dengan setiap pembelian Galaxy S10. Pada hemat kami kemampuan audio Galaxy Buds adalah lebih baik. Dentuman bass adalah lebih bermaya dan treble yang lebih terang.

Pad sesentuh pada sisi kedua-dua fon juga adalah responsif kepada kawalan yang diberikan. Sentuhan sekali memberhentikan atau memainkan audio yang sedang didengari. Dwi-tap akan melangkau ke depan manakala tri-tap pula melangkau ke belakang. Kami hanya kecewa tahap kekuatan audio tidak boleh dikawal menerusi pad sesentuh ini kerana ia boleh dilakukan pada Gear IconX sebelum ini.

Tidak seperti AirPods, muzik yang didengari akan hanya berhenti secara automatik apabila kedua-dua fon telinga ditanggalkan. Muzik juga tidak bersambung secara automatik apabila ia dipasang semula pada telinga. Ini adalah perbezaan paling ketara dari segi fungsi di antara Galaxy Buds dan AirPods. Namun begitu AirPods pula tidak mempunyai sistem kawalan sesentuh yang lebih pelbagai seperti Galaxy Buds.

Menerusi aplikasi Galaxy Wearable, pengguna boleh memetakan apa yang berlaku apabila jari diletakkan pada pad sesentuh. Secara default pad sesentuh akan melancarkan pembantu maya. Pengguna boleh memilih Google Assistant atau Bixby (pada peranti Samsung). Anda juga boleh menggunakannya untuk menyenyapkan audio seketika jika ingin berbual atau mengaktifkan mod Ambience Sound juga boleh dilakukan.

Ambience Sound ialah fungsi amat berguna bagi mereka yang mendengar muzik di pejabat atau bersenam. Galaxy Buds boleh menguatkan audio percakapan atau persekitaran walaupun ketika pengguna mendengar muzik pada kekuatan maksimum. Pengguna tidak akan menjadi pekak kepada audio sekeliling ketika mendengar muzik.

Mereka juga boleh mempunyai pendengaran bionik kerana menguatkan audio percakapan. Di pejabat kami boleh mendengar perbualan rakan yang terletak lima meter dari kami dengan jelas tanpa beliau meninggikan suara. Untuk seketika kami terasa seperti Superman dengan kemampuan mendengar luar biasa.

Untuk pengalaman terbaik pengguna Android digalakkan memuat turun aplikasi Galaxy Wearable. Tahap bateri setiap fon telinga dapat dilihat dan begitu juga pilihan beberapa tetapan audio terbina mengikut genre. Ia juga perlu untuk melakukan pemetaan semula pad sesentuh, Ambience Sound, aplikasi yang dibenarkan menghantar notifikasi dan fungsi Find My Earbuds.

Buat masa ini aplikasi Galaxy Wearable hanya ditawarkan pada platform Android. Apabila Galaxy Buds ditambat pada peranti iOS, beberapa fungsi seperti Ambience Sound tidak boleh digunakan Malahan pada peranti iOS, hanya satu tahap bateri Galaxy Buds boleh dilihat dan bukan secara berasingan. Ini adalah sedikit canggung kerana fon telinga kanan akan kehabisan bateri terlebih dahulu kerana kami difahamkan pemancar diletakkan di dalamnya. Secara purata bateri pada fon telinga kanan lebih rendah sehingga 10% berbanding fon telinga kiri. Ini sebenarnya masalah yang kami sedari sejak Gear IconX generasi pertama dan masih belum diselesaikan.

Tambatan pada peranti Samsung adalah amat mudah. Skrin dengan grafik Galaxy Buds akan muncul pada skrin peranti sekitar empat saat selepas pintu pod pengecas dibuka. Proses tambatan akan berlaku secara automatik sejurus selepas butang “pair” ditekan pada skrin. Pada iOS, pengguna perlu memasuki skrin tetapan bluetooth dan melakukan tambatan secara manual.

Tambatan pada peranti Android lain adalah agak berserabut. Pada peranti Huawei dan Xiaomi misalnya, Galaxy Buds langsung tidak dapat dikesan sekiranya aplikasi Galaxy Wearable tidak dimuat turun terlebih dahulu. Selepas aplikasi dimuat turun, proses menambat sedikit kompleks. Aplikasi perlu dibuka, kemudian pilih Galaxy Buds dari pilihan skrin dan pasangkan fon pada telinga. Hanya selepas itu peranti akan memuat turun pemalam khusus untuk Galaxy Buds dari App Store bagi membolehkan ia berfungsi pada peranti Android selain Samsung.

Tambatan pada komputer Windows 10 dan macOS X adalah sama seperti proses menambat pada peranti iOS. Buka penutup Galaxy Buds dan ia akan muncul dalam senarai peranti bluetooth yang dikesan. Pasca tambatan, pembantu maya seperti Siri boleh diseru dengan meletakkan jari pada pad sesentuh. Kami merasakan agak tidak munasabah proses tambatan pada iOS, macOS X dan Windows 10 lebih mudah berbanding pada peranti Android yang lain.

Bateri

Setiap fon telinga diiklankan boleh bertahan selama enam jam. Ini adalah anggaran yang agak konservatif berbanding kegunaan dunia sebenar. Kami hanya mampu mendapatkan tahap penggunaan maksimum selama lima jam pada tetapan audio yang agak kuat. Ia kemudiannya boleh digunakan sehingga dua hari sebelum pod pengecas perlu dicas semula. Tempoh penggunaan ini adalah berkadar terus dengan tahap kekuatan audio anda.

Waktu untuk mengecas semula pod pengecas pula kami anggarkan sekitar 90 minit. Kami perlu menganggarkan masa pengecasan ini kerana tidak seperti AirPods, tahap bateri pod pengecas tidak ditunjukkan di dalam aplikasi Galaxy Wearable ataupun terbina di dalam Android menerusi skrin tambatan bluetooth. Pengguna terpaksa bergantung sepenuhnya kepada warna lampu LED di luar pod seperti yang kami nyatakan pada perenggan ke-12 artikel ini.

Jika Samsung Galaxy Buds 2 dihasilkan, fungsi memaparkan tahap bateri pada pod pengecas perlu disertakan seperti yang disokong pada AirPods.

Kesimpulan

Dengan harga RM499 sebuah, Samsung Galaxy Buds menawarkan nilai yang baik bagi sebuah fon dalam-telinga yang bersaiz kecil. Kualiti audio adalah amat memuaskan kerana ditala sendiri oleh pihak AKG. Ianya lebih baik berbanding fon telinga berwayar AKG yang disertakan oleh Samsung dengan setiap pembelian peranti mercu keluaran mereka.

Ketahanan bateri juga memuaskan sekitar 5 jam dengan sekali caj dengan tambahan 7 jam bateri pada pod pengecas. Sistem pad sesentuh yang digunakan memudahkan kami mendengar muzik tanpa perlu menyentuh telefon pintar. Tiada sela masa dikesan apabila pad disentuh. Menerusi aplikasi Galaxy Wearable, terdapat lagi fungsi tambahan seperti Ambience Sound dan juga mod muzik berbeza mengikut genre.

Tambatan dilakukan dengan pantas dan mudah pada peranti Samsung. Pada peranti Android lain ia sedikit bermasalah kerana pengguna perlu memuat turun aplikasi Galaxy Wearable. Jika ini tidak dilalukan, Galaxy Buds tidak akan dapat dikesan pada skrin bluetooth peranti yang ingin ditambat.

Di iOS, macOS X dan Windows 10,  tambatan adalah jauh lebih mudah kerana tidak memerlukan pemasangan aplikasi dan pemalam terlebih dahulu. Satu kekurangan ialah tanpa aplikasi Galaxy Wearable, fungsi Ambience Sound, memetakan semula pada sesentuh dan fungsi Find My Earbuds tidak dapat digunakan.

Pesaing terhampir untuk Galaxy Buds pastinya AirPods. AirPods mempunyai kelebihan pada kemasan lebih premium, magnet pod penyimpan yang lebih kuat dan audio soundstage yang lebih terbuka. Tetapi Galaxy Buds mempunyai kelebihan sistem pad sesentuh untuk mengawal audio yang lebih pelbagai dan harga yang lebih murah. Bagi yang mencari fon telinga nirwayar kompak, Galaxy Buds adalah aksesori audio yang mantap dengan pelbagai fungsi tambahan menarik.

Pro

  • Kualiti bunyi yang sangat baik.
  • Fungsi Ambience Sound membolehkan audio luaran masih didengari dan menguatkan bunyi percakapan tanpa fon telinga ditanggalkan.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan.
  • Rekaan pod yang kecil mudah disimpan di dalam poket.
  • Kalis peluh sesuai digunakan untuk aktiviti bersenam.
  • Pada sesentuh sisi memudahkan kawalan audio.
  • Sokongan pengecasan nirwayar Qi.

Kontra

  • Penggunaan bateri yang tidak sekata. Fon telinga kanan kehabisan bateri lebih pantas.
  • Memerlukan aplikasi Galaxy Wearable untuk mendapatkan fungsi sepenuhnya.
  • Tambatan pada peranti Android bukan keluaran Samsung leceh.
  • Rekaan fon dalam-telinga bukan untuk semua pengguna.
  • Muzik tidak bersambung secara automatik apabila fon dipasang semula selepas ditanggalkan.

Nota Editor – Pada ulasan asal, kami mengatakan AirPods tidak mempunyai pad sesentuh untuk sokongan gesture. Ini adalh kurang tepat kerana terdapat sokongan gesture dwi-tap menerusi accelerometer yang membolehkan kawalan muzik tanpa memegang peranti dilakukan. Artikel telah disunting semula untuk menerangkan lebih lanjut perbezaan sistem gesture dengan pad sesentuh Galaxy Buds dengan dwi-tap pada AirPods.

Komen