Cari @ Amanz

NVIDIA Membeli Syarikat Pembuat Cip Mellanox Untuk RM28 Bilion

Oleh Nazrin

Link Copied!

Kebelakangan ini, terdapat ura-ura bahawa NVIDIA dan Intel sedang bersaing untuk membeli syarikat pembuat cip dari Israel yang bernama Mellanox.

Beberapa bulan lalu, Intel dikatakan telah membuat bidaan pembelian sebanyak $6 billion (~RM24 bilion), dan telah hampir memenangi bidaan tersebut, akan tetapi NVIDIA baru sahaja dilaporkan telah memasukkan bidaan saat terakhir pada nilai $6.9 bilion (~RM28 bilion), sekaligus memenangi bidaan untuk membeli syarikat tersebut.

Pembelian ini dikatakan satu kemenangan buat NVIDIA kerana cip-cip pemprosesan yang dibina Mellanox biasanya digunakan untuk kecerdasan buatan, supercomputer, penjanaan rangkaian ethernet berkelajuan tinggi dan sebagainya.

Bagi NVIDIA ini adalah cukup penting sekali kerana NVIDIA sedang berkecimpung didalam bidang kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan sains data. NVIDIA juga mempunyai cip pemprosesan yang digunakan khusus untuk kenderaan swapandu, dan NVIDIA nampaknya sedang berusaha untuk memesatkan lagi teknologi tersebut.

Teknologi-teknologi ini dikatakan menyumbang sebanyak satu pertiga daripada keuntungan NVIDIA pada tahun 2018, dan dengan pembelian Mellanox ini, NVIDIA pasti berharap bahawa mereka akan mendapat kelebihan berlipat kali ganda untuk memesatkan teknologi-teknologi kecerdasan dan pemprosesan yang sedia ada.


Komen ()