Baru-baru ini, World Football Summit (WFS) Asia telah mengumumkan kolaborasi mereka bersama Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Pusat Inovasi Sukan Global yang dikuasakan oleh Microsoft (GSIC) dalam melancarkan program STARTCUP 2019 edisi tempatan.
Perkongsian kolaborasi di antara pihak-pihak yang terlibat ini adalah usaha dalam membantu industri tempatan dalam acara STARTCUP 2019 kelak. Usaha ini adalah untuk mencari projek sukan atau startup terbaik di Asia yang boleh menawarkan penyelesaian yang memberi kesan kepada industri sukan.
Menerusi perkongsian objektif oleh WFS, program ini adalah bertujuan untuk membantu dan melatih usahawan tempatan atau startup dalam menjayakan projek mereka. WFS turut membantu dalam memperbaiki perancangan hala tuju dan pertumbuhan syarikat sekaligus menyediakan sambungan terus kepada klien yang berpotensi. Sepanjang program ini, syarikat-syarikat startup ini turut akan mempelajari pelbagai topik, termasuk mengenali sasaran pasaran dan persediaan untuk mengembangkan pasaran mereka.
Dalam pada masa yang sama, STARTCUP 2019 turut mengenalpasti penyelesaian teknologi dalam pelbagai bidang termasuk platform digital sukan, kemudahan pintar, media dan hak, eSports dan penajaan N3XT. Bagi melayakkan sesebuah startup memohon untuk program ini, ia haruslah projek yang masih pada peringkat awal, mempunyai sekurang-kurangnya 2 individu bekerja secara sepenuh masa serta menghasilkan produk berdaya maju (MVP) dan berpotensi untuk melaksanakan di peringkat antarabangsa.
Bagi startup yang berminat, anda boleh mula melakukan permohonan bagi acara WFS Asia STARTCUP 2019 sehingga 18 Mac 2019. Kira-kira tujuh startup bakal dipilih dan mempunyai peluang untuk memulakan projek mereka pada acara WFS Asia di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 April 2019 kelak. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi WFS Asia bermula hari ini.